EMIR HARITH BUKTIKAN DISLEKSIA BUKAN PENGHALANG UNTUK BERJAYA

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

DURIAN TUNGGAL 1 Ogos – Siapa sangka di sebalik kekurangan apabila disahkan disleksia sejak kecil, Emir Harith Junizam, 18, berjaya membuktikan semua itu mampu diubah dengan kerja keras.

Ia selepas anak muda itu bangkit melakar kecemerlangan dengan memperoleh 8A dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sekali gus muncul antara pelajar cemerlang dalam kategori Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

Anak kelahiran Merlimau itu berkata, pencapaian tersebut membuktikan kekurangan upaya dalam pembelajaran bukan penghalang untuknya mencapai kejayaan, sebaliknya menjadi kekuatan yang mendorongnya berusaha lebih gigih berbanding orang lain.

“Saya sedar saya belajar dengan cara yang berbeza tetapi saya tidak pernah anggap disleksia sebagai alasan untuk mengalah. Jika orang biasa belajar sekali sudah faham apa yang diajari, namun saya perlu belajar lebih dua kali untuk saya faham.

“Saya sentiasa kata pada diri, saya hanya perlu berusaha lebih keras dan mencari kaedah pembelajaran yang sesuai dengan diri saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), SPM dan Huffaz Negeri Melaka Tahun 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di  Dewan Canseleri Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Emir Harith yang kini sedang menuntut dalam jurusan Bahasa Inggeris di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kejayaan yang diraih adalah hasil sokongan berterusan ibu bapa, guru serta rakan-rakan yang sentiasa memberi dorongan ketika dia berdepan kesukaran memahami pelajaran.

Tambah anak kedua dari tiga beradik itu, dia turut memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan bergelar guru Bahasa Inggeris suatu hari nanti serta berharap dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh bagi membanggakan keluarga serta menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan.

“Saya ingin buktikan bahawa pelajar disleksia juga mampu berjaya jika diberi peluang, bimbingan dan tidak pernah berhenti percaya kepada diri sendiri dan pengiktirafan serta penghargaan daripada Kerajaan Negeri Melaka kepada pelajar seperti saya ini juga sangat saya hargai.

“Saya harap, kejayaan dalam SPM ini sedikit sebanyak dapat memberi keyakinan kepada rakan-rakan MBPK lain supaya jangan malu dengan kekurangan yang ada kerana setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing dan cari tahu kelebihan kita di mana,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

452
Kongsi :
Previous post LEBIH 5,000 MERIAHKAN MALAM KEBUDAYAAN DUA JIWA SATU HATI
Next post PPSPM TAWAR SUASANA PEMBELAJARAN BERASASKAN PENGALAMAN, PUPUK SEMANGAT CINTAKAN SEJARAH