TOKONG, PERSATUAN PENGANUT DUYONG RASAI NIKMAT MELAKA SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

DUYONG 2 Ogos – Sejumlah RM20,000 disalurkan Kerajaan Negeri khusus kepada tokong dan persatuan penganut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri mengiktiraf bahawa rumah ibadat dan persatuan masyarakat bukan sekadar tempat menjalankan aktiviti keagamaan, sebaliknya turut menjadi tempat membina persahabatan, menyelesaikan masalah setempat, membantu golongan yang memerlukan dan mendidik generasi muda tentang nilai hormat-menghormati.

“Bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Duyong, Kerajaan Negeri berbesar hati menyalurkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada setiap tokong dan persatuan yang terlibat, membabitkan 10 buah tokong dan persatuan penganut.

“Mungkin jumlah ini tidak terlalu besar, tetapi saya amat berharap sekurang-kurangnya ia boleh membantu menggerakkan aktiviti, melaksanakan kerja-kerja kecil, menjaga kemudahan ataupun meringankan sebahagian perbelanjaan persatuan.

“Sumbangan ini membawa satu mesej yang jelas bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah melupakan peranan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Replika Cek Sumbangan Kepada Tokong di Duyong sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Duyong di Japerun Duyong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pegawai Kewangan negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Menurut Ab Rauf, hubungan erat antara Kerajaan Negeri, kepimpinan masyarakat, rumah ibadat serta persatuan di Duyong perlu terus diperkukuh bagi memastikan keharmonian, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan komuniti terus terpelihara.

“Di DUN Duyong terdapat empat buah masjid dan lima buah tokong, manakala tiga buah lagi tokong berada berhampiran kawasan sempadan DUN.

“Angka ini menggambarkan bagaimana masyarakat berbilang kaum dan agama telah hidup bersama, berjiran dan membina kehidupan dalam suasana aman sejak sekian lama.

“Justeru itu, dalam keterangkuman Melaka Sayang Rakyat (MeSRA), tiada kaum yang boleh dipinggirkan selain tiada masyarakat yang boleh ditinggalkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

331
Kongsi :
Previous post RUMAH SELESA, SELAMAT SINARI KEHIDUPAN 9 KELUARGA DI TELOK MAS
Next post MELAKA BELANJA LEBIH RM250,000 SEDIA KEMUDAHAN TERAPI OKU