DUYONG HIMPUN SEMUA, TOK RAUF SANTUNI SEGENAP LAPISAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

DUYONG 3 Ogos – Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menyantuni pelbagai lapisan masyarakat menerusi empat lokasi persinggahan yang menghimpunkan komuniti berbilang kaum, golongan istimewa dan penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pendekatan itu membolehkan Kerajaan Negeri menyampaikan perkhidmatan secara lebih dekat dengan rakyat, di samping meninjau sendiri keperluan setiap komuniti.

Katanya, setiap lokasi persinggahan disusun mengikut kelompok masyarakat berbeza bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima perhatian kerajaan.

“Sepanjang jelajah ini kita mengadakan empat ‘check point’ yang masing-masing mempunyai komuniti tersendiri, bermula dengan menyantuni masyarakat Cina dan kemudian bertemu insan istimewa sebelum menyantuni Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).

“Pemilihan lokasi terakhir di Kampung Jambatan Duyong yang menjadi tuan rumah memberi peluang kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh melihat sendiri keharmonian masyarakat setempat.

“Keharmonian ini adalah hasil yang telah diberikan beliau selama mentadbir Melaka. Untuk itu, kita zahirkan melalui sokongan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Duyong yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Madrasah Helyatil Auliya Addiniah Al-Arabiyah, Kampung Jambatan Duyong, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, sambutan menggalakkan daripada penduduk di setiap lokasi membuktikan program turun padang itu terus mendapat sokongan rakyat, selain menjadi medium terbaik menghubungkan kerajaan dengan masyarakat.

“Mewakili seluruh warga Duyong, saya merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri kerana sudi ‘mencemar duli’ kali kedua ke DUN Duyong yang mana kehadiran beliau amat dinanti-nantikan rakyat.

“Kehadiran beliau memberi peluang kepada rakyat untuk berjumpa secara terus dan menyampaikan apa sahaja permasalahan atau pandangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

524
Kongsi :
Previous post ANUGERAH SERI MELAKA BAKAL TAMBAH KATEGORI TAHUN DEPAN
Next post PENANTIAN 30 TAHUN NELAYAN TANJUNG NIBONG BERAKHIR