ANAK JATI MASJID TANAH JULANG ANUGERAH SERI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 2 Ogos – Lebih empat dekad pengalaman dalam sektor hartanah, perbankan dan korporat mengangkat Datuk Sr. Azmar Talib sebagai penerima sulung Anugerah Seri Melaka 2026, malam tadi.

Anugerah berprestij itu menjadi kemuncak Majlis Malam Gala Anugerah Seri Melaka yang julung kali dianjurkan Kerajaan Negeri bagi mengiktiraf tokoh kelahiran negeri yang mencipta kecemerlangan serta mengharumkan nama Melaka di pelbagai peringkat.

Terdahulu, Sr. Azmar yang merupakan anak jati Kampung Durian Daun, Masjid Tanah telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Seri Melaka Kategori Korporat, sebelum dipilih sebagai penerima anugerah utama yang membawa pulang trofi eksklusif Anugerah Seri Melaka berserta wang tunai RM20,000.

Beliau sebelum ini turut menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Maal Hijrah Melaka 2025, selain menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd sehingga kini.

Pengalaman luas kira-kira 40 tahun dalam bidang hartanah, pembinaan, perbankan dan pemulihan korporat menjadi antara pencapaian utama yang mengangkat beliau sebagai penerima anugerah berkenaan.

Sementara itu, Anugerah Seri Melaka Kategori Sukan menjadi milik jaguh badminton negara, Aaron Chia, manakala Kategori Seni dan Budaya dimenangi Lokman Abdul Ghani yang tidak asing lagi sebagai pengarah seni persembahan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Bagi Kategori Penjawat Awam pula, pengiktirafan diberikan kepada Datuk Zamri Misman, anak jati Alor Gajah yang kini bergelar Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri.

Keempat-empat pemenang bagi setiap kategori masing-masing menerima trofi berserta wang tunai RM10,000.

Selain itu, Anugerah Seri Melaka Kategori Khas pula diberikan kepada Dr. Saiful Anuar Singar anak Orang Asli dari Kampung Orang Asli Lubuk Bandung atas sumbangan serta pencapaian dalam dunia sains perubatan antarabangsa.

Beliau menghasilkan 15 artikel penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal saintifik berimpak tinggi, sekali gus membuktikan keupayaan anak Melaka mencipta nama dalam bidang sains dan perubatan di peringkat global.

Selain empat kategori utama dan kategori khas, Anugerah Seri Melaka turut menghimpunkan barisan finalis yang mencerminkan kepelbagaian bakat serta kecemerlangan anak negeri dalam bidang sukan, seni dan budaya, korporat serta perkhidmatan awam.

Antara nama-nama besar yang bergelar finalis adalah penyanyi dan pelakon popular tanah air seperti Ziana Zain, Ayda Jebat dan Ashraf Muslim.

Selain itu, turut tersenarai jaguh dan jurulatih sukan, antaranya Goh Liu Ying (badminton), Tan Cheong Min (wushu) dan Datuk Ong Kim Swee (bola sepak).

Penganjuran Anugerah Seri Melaka buat julung kalinya menjadi wadah Kerajaan Negeri menghargai jasa, pencapaian dan sumbangan tokoh kelahiran Melaka, selain menyemarakkan semangat generasi baharu untuk terus mencipta kejayaan serta mengangkat nama negeri ke persada lebih tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post RM150,000 SENTUH HATI RAKYAT DUYONG
Next post ANUGERAH SERI MELAKA JULANG JASA, UKIR LEGASI PERMATA NEGERI