
‘PERMATA’ MELAKA BERJAYA DISERU BUKA LEBIH BANYAK PELUANG UNTUK ANAK NEGERI
AYER KEROH 2 Ogos – Anak Melaka yang telah berjaya mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang diseru menggunakan pengalaman, kepakaran serta jaringan yang dimiliki bagi membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada generasi baharu negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan yang diraih ‘permata’ Melaka itu tidak seharusnya berhenti pada pencapaian peribadi, sebaliknya perlu diterjemahkan sebagai kekuatan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan pembangunan negeri.
Menurutnya, menerusi penganjuran Anugerah Seri Melaka buat julung kalinya, Kerajaan Negeri turut menzahirkan harapan agar kesemua pemenang mahupun finalis dan calon dapat menjadi rakan strategik kepada Kerajaan Negeri dalam melahirkan lebih ramai anak watan yang berjaya.
“Gunakanlah pengalaman, kepakaran dan jaringan yang telah dibina untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada anak-anak negeri ini.
“Kerana inilah legasi yang kita mahu lahirkan menerusi Anugerah Seri Melaka. Kita mahu kejayaan yang diraih oleh seorang anak Melaka membuka jalan kepada kejayaan anak Melaka yang lain, lalu kembali menjadi kekuatan kepada negeri dan generasi yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Gala Anugerah Seri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, daripada ratusan kisah kejayaan yang diterima, Kerajaan Negeri berharap ia tidak hanya terhenti di situ, sebaliknya mahu kesemua mereka terus melangkah lebih jauh, mendaki lebih tinggi dan membuktikan negeri kecil ini juga mampu melahirkan insan yang berjiwa dan bercita-cita besar.
“Marilah kita bertaut hati dan berganding erat untuk memastikan bahawa daripada permata-permata yang diraikan pada anugerah ini akan lahir ratusan, bahkan ribuan lagi permata Melaka yang berani bermimpi lebih besar, teguh melangkah lebih jauh dan bersedia mencipta sejarah,” tambahnya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


