
MELAKA ADA KEISTIMEWAAN TERSENDIRI – PM
PAYA RUMPUT 7 Ogos – Melaka memiliki keistimewaannya yang tersendiri dan perkara itu diakui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan menolak setiap kali dipelawa untuk menghadiri program atau masjlis yang dianjurkan di Negeri Melaka.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Melaka. Kalau datang ke Melaka, saya setuju terus, tak pernah tolak. Mudah-mudahan hasrat kita menjadikan landskap memenuhi konsep Malaysia MADANI dapat diterjemahkan melalui tindakan dan hasilnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib; serta Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Datuk TPr. Rozihan Abdul Ghani.
Penganjuran HLN 2026 di negeri ini dilihat bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Melaka 2.0 serta Tahun Melawat Malaysia 2026, selain memperkukuh peranan Melaka sebagai destinasi pelancongan warisan dan bandar lestari.
Sambutan bertemakan ‘Landskap Lestari, Malaysia MADANI’ itu dianjurkan Jabatan Landskap Negara (JLN) dan memasuki edisi ke-27 sejak diperkenalkan pada 1998. Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-30 penubuhan JLN dalam menerajui agenda penghijauan negara.
Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah turut membawa simbolik tersendiri memandangkan negeri ini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang menampilkan gabungan sejarah, budaya dan landskap bandar, sekali gus menjadi lokasi sesuai bagi penganjuran sambutan berkenaan.
Sepanjang tiga hari penganjuran sehingga 9 Ogos, pelbagai pengisian disediakan kepada pengunjung termasuk pameran landskap daripada 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, Jualan Rahmah MADANI, Jualan FAMA, percubaan mencipta Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penghasilan perabot daripada palet kayu terbanyak dalam sehari selain penyampaian Anugerah Rosa Sinensis dan Anugerah Landskap Negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


