PPSPM SUNTIK SEMANGAT ATLET PERAHU NAGA, PINGPONG HADAPI SUKMA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

DUYONG 14 Ogos – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyuntik semangat atlet perahu naga dan pingpong Melaka yang bakal membawa cabaran negeri pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor menerusi sumbangan keseluruhan RM20,000.

Sumbangan berjumlah RM10,000 kepada setiap kontinjen itu sebagai tanda sokongan PPSPM terhadap usaha atlet Melaka membuat persiapan terbaik sebelum beraksi di pentas SUKMA.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, sumbangan berkenaan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Melaka untuk terus menyokong pembangunan sukan serta kebajikan atlet negeri.

Menurutnya, PPSPM berharap sumbangan itu dapat menjadi pemangkin semangat kepada atlet untuk memberikan aksi terbaik dan seterusnya membawa pulang pingat buat Melaka.

“Harapan kami semestinya mahu melihat atlet yang kita sokong ini sekurang-kurangnya naik podium.

“Kita berdoa bersama-sama agar adik-adik kita yang membawa obor perjuangan negeri Melaka di Selangor ini menempa kejayaan dalam acara yang mereka sertai,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Hi-Tea dan Penyampaian Simbangan Kontinjen Ping Pong dan Perahu Layar di Dataran Pengkalan Rama, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rosli Abdullah berkata, sokongan PPSPM itu amat bermakna dalam membantu persiapan atlet Melaka menghadapi saingan SUKMA.

Beliau yang juga bapa angkat pasukan perahu naga berharap atlet Melaka dapat memberikan persembahan terbaik serta menyumbang pingat untuk mengharumkan nama negeri.

“Saya mengharapkan atlet-atlet kita akan dapat melahirkan pingat, tidak kisahlah pingat apa sekalipun, yang penting mereka dapat memberikan yang terbaik untuk mengharumkan nama negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

498
Kongsi :
Previous post JANGAN BIAR DIABETES GELAPKAN PANDANGAN ANDA
Next post PERZIM SASAR 4,000 PENGUNJUNG SERBU ENAM MUZIUM 31 OGOS INI