
LIMA KENDURI RAKYAT WARNAI WRUR AYER LIMAU
AYER LIMAU 20 Ogos – Lima kenduri rakyat bakal menjadi antara pengisian utama Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 12 September depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kelainan WRUR kali ini ialah kenduri rakyat tidak hanya diadakan di satu lokasi, sebaliknya dilaksanakan di setiap lima zon yang meliputi tiga kampung bagi setiap zon.
Katanya, pendekatan itu membolehkan lebih ramai penduduk menyertai program berkenaan selain memberi peluang kepada wakil rakyat mendekati masyarakat di setiap kampung secara lebih menyeluruh.
“Biasanya kenduri rakyat hanya berlaku di satu tempat tetapi di DUN Ayer Limau kita akan laksanakan di semua zon yang kita telah tetapkan dan ia akan melibatkan semua kampung yang ada di setiap zon.
“Jadi, setiap zon akan mempunyai pengisian tersendiri dan masyarakat di setiap kampung dapat bersama-sama menyertai program yang dirancang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Nur Aira Melissa Muammar Haziq, yang menghidap kanser limfoma tahap tiga, di Taman Sri Aman, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Nor Azmi Hussin.
Menurut Hameed, pelaksanaan kenduri rakyat di setiap zon bukan sekadar memberi ruang kepada masyarakat berkumpul dalam suasana santai, malah menjadi platform untuk beliau berinteraksi secara langsung dengan penduduk.
“Melalui pendekatan ini, kita dapat mendengar sendiri pandangan, cadangan dan keperluan masyarakat di setiap kampung, sekali gus memastikan isu yang dibangkitkan dapat diberi perhatian secara lebih menyeluruh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

