11,037 KES MAHKAMAH SYARIAH MELAKA SELESAI, BUKTI KEADILAN SEMAKIN CEKAP

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 20 Ogos – Sebanyak 11,037 daripada 13,424 kes Mal (sivil) dan jenayah berjaya diselesaikan Mahkamah Syariah Negeri Melaka bagi tempoh Januari 2024 hingga Ogos 2026, dengan kadar penyelesaian melebihi 82 peratus.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pencapaian itu membuktikan usaha berterusan memperkukuh kecekapan institusi kehakiman Syariah dalam memastikan rakyat mendapat penyelesaian terhadap kes yang dihadapi.

Katanya, pencapaian berkenaan bukan sekadar memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI), sebaliknya menggambarkan jumlah rakyat yang menerima penyelesaian terhadap permasalahan membabitkan kehidupan, keluarga dan hak masing-masing.

“Angka 82 peratus ini bukan sekadar satu KPI. Di belakang setiap fail ini ada manusia, ada suami dan isteri, ada anak-anak dan ada keluarga yang menunggu penyelesaian.

“Apabila sesuatu kes dapat diselesaikan dengan cekap dan adil, yang kita selesaikan bukan sekadar sebuah fail, tetapi kita membantu menyelesaikan sebahagian daripada kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan Program Mahabbah Mahkamah Syariah Negeri Melaka 2026 di perkarangan Mahkamah Syariah Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawel; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Azzeman Omar serta kenamaan lain.

Rahmad berkata, pencapaian berkenaan perlu menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Mahkamah Syariah Negeri Melaka untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, selain memastikan kepentingan dan hak rakyat terus terpelihara.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mahu sistem kehakiman Syariah terus diperkasa bukan sahaja dari aspek keupayaan menyelesaikan kes, malah melalui proses yang lebih cekap, mudah difahami dan tidak menambah beban kepada rakyat.

“Rakyat bukan sahaja mahu keputusan yang adil, rakyat mahu proses yang cekap, mudah difahami dan tidak mengambil masa sehingga menambah beban kepada mereka,” katanya.

Tambah beliau, keadilan yang benar-benar dirasai rakyat memerlukan institusi kehakiman yang diyakini serta mampu memberikan penyelesaian secara profesional, telus dan berkesan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

249
Kongsi :
Previous post 256 PROJEK INFRA RAKYAT MENDAHULUI JADUAL – AHMAD