MELAKA PERKASA KEHAKIMAN SYARIAH, RUU BAHARU DI FASA AKHIR

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 20 Ogos – Melaka kini di fasa akhir melengkapkan kerangka perundangan bagi memperkukuh sistem kehakiman Syariah negeri menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah serta Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Fi Mahkamah).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, proses berkenaan sedang diperincikan bagi memastikan beberapa peruntukan berkaitan dapat disempurnakan sebelum dibawa untuk pertimbangan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, pembaharuan itu penting bagi melengkapkan satu lagi saluran dalam hierarki kehakiman Syariah negeri, selain memastikan sistem pengadilan Syariah Melaka terus diperkasa.

“Ini merupakan proses terakhir untuk melengkapkan satu lagi saluran dalam hierarki kehakiman Syariah negeri, yang mana beberapa negeri di Malaysia telah pun melakukannya.

“Jadi kita juga mahu menjadi antara negeri yang melaksanakan pembaharuan berkaitan enakmen-enakmen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Mahabbah Mahkamah Syariah Negeri Melaka 2026 di perkarangan Mahkamah Syariah Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Azzeman Omar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, beberapa enakmen berkaitan Mahkamah Syariah perlu melalui proses persidangan DUN sebelum pembaharuan berkenaan dapat dilaksanakan.

Katanya, Kerajaan Negeri menyasarkan perkara itu dibawa ke persidangan DUN sekiranya proses berkaitan dapat diselesaikan mengikut jadual.

“Sekiranya mempunyai ruang dan masa yang sesuai, perkara ini boleh dibawa pada persidangan terakhir DUN tahun ini atau awal tahun depan, namun apa pun ia bergantung kepada situasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

247
Kongsi :
Previous post ‘SAYA PILIH SIAPA BERI MAS KAHWIN TERBAIK’ – AB RAUF