MELAKA SASAR TUBUH MAHKAMAH UTAMA SYARIAH 2027

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 21 Ogos – Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM6 juta bagi memperkasakan Mahkamah Syariah Negeri Melaka, termasuk usaha memperkukuh struktur kehakiman syariah menerusi penubuhan Mahkamah Utama Syariah yang disasarkan direalisasikan pada 2027.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan institusi kehakiman Syariah terus diperkasa selaras dengan keperluan semasa.

Katanya, penubuhan Mahkamah Utama Syariah merupakan antara pembaharuan yang sedang dirancang bagi memperkukuh struktur dan hierarki kehakiman Syariah di negeri ini.

“Antara pembaharuan penting yang dirancang ialah memperkemas proses pelantikan Hakim Syarie serta penubuhan Mahkamah Utama Syariah yang akan menyediakan satu lagi saluran dalam hierarki kehakiman Syariah negeri.

“Berdasarkan perancangan semasa, institusi ini disasarkan direalisasikan pada 2027, namun ia tertakluk kepada proses perundangan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan Program Mahabbah Mahkamah Syariah Negeri Melaka 2026 di perkarangan Mahkamah Syariah Negeri Melaka, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawel; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Azzeman Omar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, usaha memperkukuh institusi kehakiman Syariah turut merangkumi penggubalan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah Negeri Melaka serta Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Fi Mahkamah).

Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi memastikan institusi Syariah terus berkembang seiring perubahan zaman serta mampu memenuhi keperluan masyarakat.

“Melaka tidak mahu institusi syariah hanya bergerak mengikut zaman, kita mahu institusi Syariah bersedia mendepani zaman, lebih profesional, lebih cekap, lebih diyakini dan sentiasa menjunjung prinsip keadilan.

“Ini bukan sekadar soal membangunkan institusi, ini adalah pelaburan dalam keadilan, pelaburan dalam kesejahteraan keluarga dan yang paling penting, pelaburan untuk memastikan hak rakyat terus terpelihara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

526
Kongsi :
Previous post AB RAUF FAIL SAMAN TERHADAP MOHAMAD ALI
Next post KOMPLEKS IKAN BAKAR BERKONSEP EROPAH ADA DI TELOK MAS