GELOMBANG 30,000 ANAK MUDA BAKAL GEGAR MITC

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 22 Ogos – Lebih 30,000 belia dijangka membanjiri Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bagi memeriahkan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang berlangsung selama tiga hari, dari 4 hingga 6 September ini.

Pengerusi Bersama Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 Datuk Hameed Mytheen Kunjur Basheer berkata, penganjuran julung kali itu dirangka sebagai platform menghimpunkan golongan belia dari seluruh negeri dalam suasana santai, selain membuka ruang kepada mereka mendapatkan maklumat serta meneroka pelbagai peluang berkaitan masa depan.

Beliau yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, pelbagai pengisian disediakan sepanjang karnival berkenaan meliputi sukan permotoran, kerjaya, pendidikan, sukan dan hiburan.

“Antara pengisian utama ialah Himpunan e-Hailing Melaka, himpunan motosikal dan kereta serta sesi town hall yang memberi ruang kepada anak muda untuk berinteraksi dan berkongsi pandangan.

“Selain itu, kita turut menyediakan peluang kepada anak muda menerusi pameran kerjaya, peluang pekerjaan, TVET serta pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan dan masa depan golongan belia,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Menurutnya, agensi dan jabatan Kerajaan dan Kerajaan Negeri turut mengambil bahagian dengan menyediakan pelbagai peluang serta perkhidmatan untuk golongan berkenaan.

“Antaranya kursus kahwin percuma untuk anak muda yang merancang mendirikan rumah tangga, selain aktiviti sukan elektronik Mobile Legends, podcast mengenai belia dan acara sukan Muay Thai.

“Karnival ini turut memberi perhatian kepada komuniti permotoran apabila pelbagai aktiviti berkaitan motosikal dirancang termasuk himpunan permotoran serta penyertaan beberapa ikon permotoran negara,” katanya.

Pada masa sama, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti santai dan hiburan termasuk Food Festival serta pengisian yang dirangka khusus mengikut minat anak muda.

Hameed berkata, karnival berkenaan bukan sekadar menjadi medan menghimpunkan belia, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mendapatkan maklumat mengenai kerjaya, pendidikan, keusahawanan dan aspek kehidupan.

“Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 ini merupakan julung kali diadakan untuk menghimpunkan golongan belia di negeri ini dan ia dirangka sebagai platform menghargai serta memperkasa golongan belia di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

499
Kongsi :
Previous post UMIS@UNIMEL: TRANSFORMASI UNIVERSITI DIGITAL, LESTARI
Next post AKSI TEMPUR, LOMPAT API GEGARKAN SAMBUTAN MERDEKA MELAKA