
HARI KEBANGSAAN MELAKA: 5,000 PARKIR, ‘SHUTTLE BUS’ MUDAHKAN PENGUNJUNG
BANDARAYA MELAKA 21 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka menyediakan hampir 5,000 lot parkir awam di 11 lokasi sekitar Klebang bagi memberi kemudahan kepada orang ramai yang hadir menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka pada 29 hingga 31 Ogos ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebanyak 4,995 lot parkir disediakan menerusi perancangan yang dibuat bagi memastikan aspek keselesaan dan kemudahan pengunjung diberi perhatian sepanjang sambutan berlangsung.
Selain itu, ujar beliau, Kerajaan Negeri turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle bus) bagi memudahkan pengunjung bergerak dari lokasi parkir ke kawasan sambutan.
Katanya, lokasi pengambilan penumpang (pickup point) akan disediakan di lokasi parkir berkenaan sebelum pengunjung dibawa ke kawasan sambutan di Klebang.
“Jadi saya nasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu risau tentang parkir, tetapi rancang perjalanan lebih awal, sentiasa mengikuti arahan petugas serta pihak berkuasa dan gunakan parkir yang telah disediakan serta perkhidmatan shuttle.
“Kerajaan juga memberi perhatian terhadap aliran trafik di lokasi sambutan dengan kawalan serta penutupan jalan dan ruang udara mengikut jadual yang telah ditetapkan, khususnya sepanjang sesi raptai dan sambutan,” katanya ketika bersiaran dalam program Tok Rauf Masuk Konti di MELAKAfm, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, bersempena sambutan Hari Kebangsaan itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan Grandstand Awam berkapasiti kira-kira 2,000 orang, selain tempat duduk bebas di sepanjang laluan perbarisan di Klebang.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan berkenaan penting bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai, selain memberi pengalaman lebih selesa kepada pengunjung yang hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan di Klebang.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka berlangsung bermula 29 hingga 31 Ogos ini dengan Dataran 1 Malaysia, Klebang menjadi lokasi utama pelbagai pengisian menarik termasuk Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC), Melaka Berselawat, Sambutan Ambang Merdeka, perbarisan, perarakan kereta berhias, persembahan etnik dan budaya serta demonstrasi ketenteraan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


