
KARNIVAL ANAK MUDA MELAKA JADI PENTAS SUARA, BAKAT DAN MASA DEPAN
BANDARAYA MELAKA 21 Ogos – Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 bukan sekadar medan hiburan dan perhimpunan golongan muda, sebaliknya dirangka sebagai platform untuk mendengar suara, mencungkil bakat serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda membina masa depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, karnival yang berlangsung 4 hingga 6 September di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh itu disusun dengan pelbagai pengisian merangkumi kerjaya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi, sukan, komuniti, keusahawanan dan hiburan.
“Sebab itu kita bukan sekadar mahu menyediakan ruang untuk anak muda berhimpun, tetapi mahu membina satu platform yang mendengar suara mereka, mencungkil bakat dan idea, serta membuka lebih banyak peluang untuk mereka berkembang dan menjadi penggerak kemajuan Melaka.
“Kita mahu pastikan karnival ini bukan sekadar hiburan, tetapi mempunyai pengisian lengkap daripada kerjaya, TVET, teknologi, sukan, komuniti, forum, keusahawanan hinggalah kepada hiburan,” katanya ketika bersiaran dalam program Tok Rauf Masuk Konti di MELAKAfm, di sini, hari ini.
Menurut Ab Rauf, antara pengisian utama yang disediakan adalah Karnival Anak Muda X Konsert Jom Heboh yang julung kali dianjurkan di Zon A, Dataran MITC, selain Townhall Anak Muda Negeri Melaka sebagai ruang untuk golongan muda berdialog dan menyuarakan pandangan serta aspirasi mereka.
Katanya, program Mesra TVET X Kerjaya turut menyediakan pameran dan kolaborasi industri, selain peluang temu duga, tawaran pekerjaan serta latihan bersama majikan.
“Untuk anak muda yang meminati teknologi pula, kita ada Youth Innovation Hub, AI Experience, Gaming Tournament, E-sport Exhibition, robotik, dron dan Digital Creator Zone.
“Bagi yang gemarkan aktiviti lasak, kita ada Pertandingan Muaythai, Army Warrior Challenge dan Pound To Fit,” katanya.
Ab Rauf berkata, karnival berkenaan turut digabungkan dengan beberapa acara besar termasuk Karnival Anak Muda Negeri Melaka X Himpunan Motosikal Melaka yang menyasarkan penyertaan sehingga 5,000 peserta bermotosikal.
Katanya, Pengumpulan Anak Muda e-Hailing turut diadakan pada 4 September, selain pelbagai pengisian berkaitan komuniti permotoran seperti pameran aksesori motosikal dan kereta, automotif, helmet serta riding gear.
“Pada masa sama, di Jom Heboh, pengunjung boleh menikmati Meet & Greet bersama artis dan pempengaruh, kendera saji, gerai usahawan muda, Battle of the Band, konsert artis terkenal dan cabutan nombor bertuah sepanjang tiga hari karnival berlangsung,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 60 hingga 80 gerai makanan turut disediakan, selain pelbagai zon mengikut minat pengunjung termasuk Family Zone, automotif, hiburan, kerjaya dan TVET.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


