
TUN DR. MOHD ALI SEMPURNAKAN PERASMIAN MASJID AL-MUKMINUN SERI MENDAPAT
SUNGAI RAMBAI 21 Ogos – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam menyempurnakan perasmian Masjid Al-Mukminun Seri Mendapat, di sini, hari ini.
Selain program perasmian oleh Tun Dr. Mohd Ali, masjid berkenaan juga meriah dengan penganjuran Majlis Kesyukuran Peringkat Negeri Melaka 2026/1448H, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Selepas menyempurnakan gimik perasmian Tun Dr. Mohd Ali kemudian menandatangani plak dan buku pelawat, beliau seterusnya menyampaikan sumbangan kepada 15 individu terdiri daripada jawatankuasa kariah, pegawai masjid dan warga emas berusia 70 tahun ke atas.
Sumbangan itu menjadi antara pengisian utama majlis, selain sebagai tanda keprihatinan terhadap warga emas serta penghargaan kepada jawatankuasa kariah dan petugas yang memainkan peranan dalam mengimarahkan masjid.
Bacaan Yasin dan tahlil dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil, diikuti bacaan doa kesyukuran dan solat Jumaat dengan khutbah bertajuk ‘Pemimpin Disanjungi, Rakyat Disayangi’ sempena sambutan hari lahir Tun Dr. Mohd Ali.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abd Azis; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat dan Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.
Pada majlis sama, Siti Faizah turut menyampaikan cenderamata kepada Tun Dr. Mohd Ali sebagai tanda penghargaan.
Tun Dr. Mohd Ali turut bergambar bersama jawatankuasa kariah, pegawai masjid dan penerima sumbangan sebelum majlis diteruskan dengan jamuan bersama.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


