CUTI SEKOLAH: BELANJA RM70 DI MELAKA RIVER CRUISE BOLEH MENANG KERETA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DUYONG 23 Ogos – Cuti persekolahan yang bakal tiba ini boleh dimanfaatkan seisi keluarga untuk menikmati pelayaran dengan Melaka River Cruise di Sungai Melaka.

Istimewanya, selain menikmati keindahan Melaka dari atas sungai, pengunjung juga berpeluang memenangi sebuah kereta dan pelbagai hadiah menarik lain menerusi cabutan bertuah dengan hanya berbelanja RM70 dan ke atas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, cabutan bertuah itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM100,000 bagi tempoh setahun dengan sebuah kereta Perodua Bezza sebagai hadiah utama.

Menurutnya, tawaran berkenaan menjadi antara tarikan tambahan kepada pengunjung untuk memilih produk pelancongan negeri sebagai destinasi bersama keluarga sepanjang cuti sekolah dan sambutan Hari Kebangsaan.

“Pengunjung yang berbelanja RM70 berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan sepanjang tempoh setahun, termasuk sebuah kereta sebagai hadiah utama.

IMG

“Ini peluang yang baik untuk keluarga datang menikmati produk pelancongan di Melaka sambil berpeluang membawa pulang hadiah menarik,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Perhimpunan Bulanan PPSPM Bagi Bulan Mei Hingga Ogos 2026 di Pejabat PPSPM Dataran Pengkalan Rama, di sini, pada Jumaat.

Shaharul Azuar berkata, PPSPM turut memperhebatkan promosi menerusi pakej keluarga di bawah produk pelancongannya yang menawarkan kelebihan dari segi harga, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Dalam pada itu, beliau turut mempelawa rakyat Malaysia menikmati tiga produk pelancongan di bawah PPSPM iaitu Melaka River Cruise, Eco Cruise Tasik Chinchin dan Eco Cruise Sungai Linggu secara percuma pada 31 Ogos ini.

Jelas beliau, ia merupakan insentif yang diberikan Kerajaan Negeri bagi menghargai rakyat dan pelancong yang telah banyak memberikan sokongan dan meningkatkan imej pelancongan Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

691
Kongsi :
Previous post 1,000 JALUR GEMILANG HIDUPKAN SEMANGAT MERDEKA DI JASIN
Next post ‘KITA TAK PILIH SIAPA MAHU DIDENGAR, SIAPA MAHU DIBANTU’ – AB RAUF