MAULID ARBAIN SEMARAK CINTA RASUL DI TAMAN KRUBONG PERDANA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PAYA RUMPUT 12 September – Taman Krubong Perdana disuburi dengan suasana kecintaan terhadap Rasulullah SAW apabila menjadi lokasi penganjuran Program Maulid Arbain Negeri Melaka malam ke-23, baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Surau Al-Qadr itu diisi dengan ceramah keagamaan yang memberi penekanan terhadap penghayatan sirah, perjuangan dan akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi Surau Al-Qadr, Taman Krubong Perdana, Mohd Aidie Mohd Ali berkata, penganjuran program berkenaan memberi ruang kepada masyarakat setempat khususnya penduduk sekitar Krubong untuk bersama-sama menghayati dan menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Katanya, sambutan masyarakat terhadap program berkenaan turut memperlihatkan kerjasama komuniti dalam menjayakan pengisian keagamaan di peringkat setempat.

“Majlis turut mendapat kerjasama yang baik daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Krubong Heights Fasa 1 dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad yang menyumbangkan wang ringgit, barangan dapur serta tenaga bagi menjayakan program ini,” katanya.

Bagi malam ke-23, Surau Al-Qadr menampilkan tiga penceramah iaitu Alhabib Abdul Qodir Asseggaf, Sheikh Sayyid Arshid dan Ustaz Munzir Ramlan.

Program Maulid Arbain Negeri Melaka kini memasuki tahun ke-12 bagi tahun 1448H/2026M dan dilaksanakan secara bergerak dari masjid serta surau di seluruh negeri.

Penganjuran selama 40 malam itu bukan sahaja menghidupkan sambutan Maulidur Rasul, malah menjadi ruang kepada masyarakat untuk berkumpul dan mendalami sirah serta nilai kehidupan yang dicontohkan Rasulullah SAW.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

105
Kongsi :
Previous post PERPUSTAM PERKASA BUDAYA MEMBACA MENERUSI WRUR
Next post ‘DATANG AYER LIMAU TAK SAH KALAU TAK JAMAH SERABAI’