
ADENAN JADI INSPIRASI, MASIH LIGAT DI PADANG MESKIPUN SUDAH DI USIA EMAS
AYER LIMAU 16 September – Biar usia mencecah 64 tahun, Adenan Hassan masih ligat berlari di atas padang, malah tidak kekok mengejar pemain ketika menjalankan tugas sebagai pengadil bola sepak.
Kegigihan anak kelahiran Kampung Ramuan China Besar itu dalam bidang sukan turut mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima Anugerah Ikon Sukan pada Majlis Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia Ramuan China Besar, pada Sabtu.
Anugerah berkenaan disampaikan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azeem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta kenamaan lain.
Menurut Adenan, minat terhadap sukan bukan perkara baharu kerana beliau sudah aktif sejak berusia 17 tahun dan terus menjadikan aktiviti berkenaan sebahagian daripada kehidupannya sehingga kini.
Katanya, sepanjang penglibatannya dalam sukan, beliau pernah mewakili pasukan bola sepak Melaka dalam saingan Piala FAM selain mewakili pasukan Jabatan-Jabatan Kerajaan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka.
“Sukan ini lahir daripada minat kita sendiri. Ia tidak datang dengan cara diarahkan atau dipaksa. Kita sendiri perlu ada kesedaran untuk mencari alternatif terbaik bagi mengekalkan kecergasan dan kesihatan,” katanya.
Beliau yang menyertai JBPM pada 1984 turut aktif dalam pelbagai persatuan, antaranya sebagai Setiausaha Badan Sukan dan Kebajikan Bomba serta Setiausaha Persatuan Sekerja Bomba, selain pernah menjadi jurulatih dan pemain bola sepak.
Bapa kepada lima anak itu berkata, kecergasan fizikal amat penting terutama kepada generasi muda dengan mengamalkan aktiviti yang mengeluarkan peluh serta menjaga pemakanan bagi memastikan tubuh kekal sihat.
“Selagi kita masih mampu berlari, berpeluh dan bergerak, jangan sia-siakan nikmat itu. Jadikan sukan sebagai sebahagian daripada hidup kerana kesihatan yang baik bermula daripada usaha kita sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


