WRUR JADI SOP, BUDAYA PENTADBIRAN MELAKA MASA DEPAN

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

TANJUNG BIDARA 13 September – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) akan terus menjadi sebahagian daripada pendekatan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka pada masa depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, program santunan rakyat itu dicadang untuk ditetapkan sebagai satu budaya dan prosedur operasi standard (SOP) dalam memastikan kebajikan serta permasalahan rakyat terus diberi perhatian.

Menurut beliau, sekiranya pentadbiran beliau terus diberi mandat kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang segala inisiatif yang memberi manfaat dan makna besar seperti WRUR akan diteruskan dan ditambah baik.

“Ya, WRUR akan diteruskan. Selepas kita diberi mandat oleh rakyat, kita akan kembali meneruskan program sentuhan rakyat seperti ini.

“WRUR akan menjadi program SOP dan budaya kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka sewaktu kita diberikan amanah untuk mengurus tadbir rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Penutup Karnival Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, pendekatan merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri turut merangkumi inisiatif lain seperti Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT).

Katanya, kesinambungan program berkenaan penting bagi memastikan hubungan antara pentadbiran Kerajaan Negeri dengan rakyat sentiasa dekat, selain membolehkan isu dan aduan yang dihadapi diselesaikan secara lebih berkesan.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, sepanjang 27 siri pelaksanaan WRUR sebelum ini, hampir 5,000 aduan telah diterima daripada rakyat di seluruh Melaka.

Daripada jumlah itu, ujar beliau, sebanyak 3,700 aduan atau 75 peratus berjaya diselesaikan menerusi tindakan susulan agensi serta jabatan berkaitan.

“Bagi saya, angka 75 peratus itu bukan sekadar statistik. Di sebalik setiap aduan yang selesai, ada urusan rakyat yang dipermudah, ada masalah yang dirungkai dan ada beban yang berjaya kita ringankan,” katanya.

WRUR DUN Tanjung Bidara yang berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini merupakan siri ke-28 dan terakhir program berkenaan selepas menjelajah kesemua 28 DUN di Melaka sejak diperkenalkan dua tahun lalu.

Pelaksanaan WRUR menjadi antara pendekatan Kerajaan Negeri untuk membawa perkhidmatan dan penyelesaian isu rakyat lebih dekat ke peringkat akar umbi menerusi penglibatan wakil rakyat, jabatan serta agensi kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

293
Kongsi :
Previous post BAYI ASNAF BARU LAHIR TERUS ADA SIMPANAN PENDIDIKAN RM3,000
Next post WRUR TANJUNG BIDARA: 78 PROGRAM BERSAMA RAKYAT, 140 ADUAN AKAN DISELESAIKAN