KOMPLEKS FALAK AL-KHAWARIZMI BAKAL JADI KLUSTER ASTRONOMI

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TANJUNG BIDARA 16 September – Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang terletak di Kampung Balik Batu disasar untuk diangkat sebagai kluster astronomi menerusi kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, perbincangan bersama MYSA sedang dijalankan bagi mengenal pasti potensi kompleks berkenaan untuk dimanfaatkan dalam pembangunan teknologi terkini serta penyelidikan berkaitan aeroangkasa.

“Kita sedang berbincang dengan MYSA untuk mengangkat Kompleks Falak Al-Khawarizmi ini sebagai kluster astronomi dalam pembangunan aeroangkasa di Malaysia.

“Impaknya, ia akan membawa kita kepada pembangunan teknologi-teknologi terkini dan bagaimana kita manfaatkan kemudahan yang ada untuk manfaat pelbagai pihak di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Penutup Karnival Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurutnya, kemudahan dan aktiviti penyelidikan yang telah dilaksanakan di kompleks berkenaan mempunyai potensi untuk menghasilkan data yang boleh dimanfaatkan agensi berkaitan, sekali gus memperluas fungsi kompleks daripada sekadar pusat pencerapan.

“Umpamanya kita ada membuat kajian matahari dan kajian cuaca, yang mana data-data kita ini boleh kita berikan kepada MYSA dan Jabatan Meteorologi Malaysia untuk kita jadikan sebagai pengumpulan data di pusat ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga dapat mengoptimumkan kemudahan sedia ada di Kompleks Falak Al-Khawarizmi supaya bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan ilmu falak, malah menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan teknologi berkaitan.

Katanya, pengembangan fungsi kompleks berkenaan turut selari dengan hasrat menjadikannya pusat penyelidikan yang lebih aktif, selain terus berperanan sebagai pusat pendidikan, pencerapan dan pelancongan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

667
Kongsi :
Previous post PETAH BERTUTUR SEJAK TADIKA, AISYAH DINOBATKAN JUARA KESELURUHAN PIDATO RUKUN NEGARA 2026
Next post ADENAN JADI INSPIRASI, MASIH LIGAT DI PADANG MESKIPUN SUDAH DI USIA EMAS