
10 MUALAF MAIM SEDANG DIUJI TERIMA ZAKAT WAKALAH RM5,000
PANTAI KUNDOR 14 September – Berdepan masalah kesihatan selain perlu menyara tanggungan keluarga, 10 asnaf mualaf menerima sumbangan zakat wakalah berjumlah RM5,000 seorang bagi membantu meringankan beban kewangan dan keperluan harian.
Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Nasir Wahab berkata, sumbangan berkenaan disalurkan menerusi Yayasan AmanahRaya untuk membantu golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.
“Seramai 10 asnaf yang berdepan masalah kesihatan dan mempunyai tanggungan ramai telah dipilih menerima sumbangan zakat wakalah ini.
“Penerima yang dipilih juga merupakan antara penerima bantuan bulanan mualaf. Sebelum ini, seramai enam asnaf sudah disantuni dan baki empat lagi diselesaikan menerusi ziarah kali ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ziarah Kasih dan Penyerahan Zakat Wakalah AmanahRaya Bersama Asnaf Mualaf Tahun 2026 yang turut dihadiri Ketua Cawangan AmanahRaya Melaka, Norsuhaila Tompang, di Kampung Pantai Kundor, di sini, pada Sabtu.
Mohd Nasir berkata, kerjasama antara MAIM dan badan korporat itu membuktikan sumbangan zakat wakalah mampu diperluaskan kepada golongan yang memerlukan, khususnya mualaf yang berdepan kesukaran hidup.
“Di Bahagian Balai Islam, ini kali pertama kami bekerjasama dengan badan korporat bagi pengagihan zakat wakalah dan kami berharap lebih banyak pihak akan tampil untuk bersama-sama membantu golongan memerlukan.
“Di pihak MAIM, kita sentiasa cakna dan prihatin terhadap golongan asnaf, khususnya mualaf, dan akan memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


