
PETAH BERTUTUR SEJAK TADIKA, AISYAH DINOBATKAN JUARA KESELURUHAN PIDATO RUKUN NEGARA 2026
AYER KEROH 15 September – Kepetahan bercakap dan kebijaksanaan menyusun kata-kata menjadi kelebihan buat Raja Nur Shazatul Aisyah Raja Idris Shah, 26, sekali gus bergelar juara keseluruhan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2026.
Katanya, perasaan cintanya terhadap dunia pidato bermula sejak tadika selepas diberikan pendedahan dan dorongan oleh ibunya menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan dianjurkan ketika itu.
Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, penyertaan dalam pertandingan sejak kecil amat membantunya untuk tampil lebih yakin setiap kali berdiri di atas pentas, manakala kesilapan pula dijadikan panduan untuk memberikan persembahan terbaik pada masa hadapan.
“Kebetulan ibu saya adalah guru tadika dia yang paling banyak memberikan semangat, pertandingan disertai sejak tadika, sekolah rendah dan menengah menjadi medan buat saya mengasah lagi kepetahan bercakap.
“Setiap pertandingan juga menjadi ruang untuk saya memperbaharui kemahiran dan mencari pendekatan berbeza supaya penyampaian pidato tidak sama dengan peserta lain. Pernah juga beberapa kali saya tampil di kaca televisyen melibatkan program pidato,” katanya.
Dia berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang-Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Atas kemenangan bagi Kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) Aisyah membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil dan tiket tarikan pelancongan yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Sementara itu sebagai juara keseluruhan, gadis ini menerima wang tunai RM1,000, piala pusingan TYT, tajaan penginapan dua hari satu malam serta tiket masuk ke Muzium Samudera tajaan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Geran RM1,000 daripada Kementerian Perpaduan Negara.
Menurutnya, minat berpidato terus subur ketika menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang kerana mendapat bimbingan daripada beberapa mentor.
“Sebenarnya Sabtu lalu saya menyertai Pidato Halalan Toyyiban Selangor 2026 dan alhamdulilah diumumkan sebagai juara. Sibuk dengan pertandingan itu persiapan saya untuk pertandingan di Melaka menjadi amat singkat, berikutan itu saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.
“Saya cuma ada dua hari sahaja untuk menghafal teks selain mengkaji fakta baharu berkaitan isu global semasa bagi disesuaikan dengan Rukun Negara. Cabaran bukan sekadar menghafal teks, sebaliknya menjaga kesihatan mental dan fizikal kerana menyertai dua pertandingan pidato dalam tempoh masa agak dekat,” katanya.
Sebagai pelajar yang kini mengikuti pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) secara ‘fast-track’ dalam bidang Pengurusan di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) juga menjadi cabaran buat Aisyah.
“Meskipun sibuk, jadual padat saya akan terus mencuri masa untuk menyertai pertandingan selagi masih berpeluang. Selepas tamat pengajian, saya bercadang menjadi pensyarah kerana mahu berkongsi pengalaman dengan lebih ramai bakat baharu dalam bidang pidato,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

