TAK PERLU TUNGGU SIMPTOM, KOMUNITI DIGALAK MANFAATKAN SARINGAN KANSER PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TANJUNG BIDARA 19 September – Tidak perlu tunggu sehingga muncul simptom atau keadaan kesihatan semakin merosot, sebaliknya orang ramai digalakkan supaya menjalani ujian saringan kanser percuma sebagai langkah untuk mengesan seterusnya merawat penyakit itu bermula dari peringkat awal.

Penolong Pengurus Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Melaka Ridzuan Kamarudin berkata, pihaknya dengan kerjasama Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menawarkan perkhidmatan percuma itu sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara.

Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi membudayakan pemeriksaan kesihatan khususnya berkaitan kanser selain mendidik serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai berhubung kepentingan kepentingan pengesanan pada peringkat awal.

“Jika  di pusat perubatan  atau penyedia perkhidmatan kesihatan luar kos saringan boleh mencapai RM300, tetapi menerusi program ini semuanya percuma. Sehubungan itu kami menggalakkan orang ramai mengambil peluang dengan menjalani saringan.

“Sekiranya ada masalah kesihatan  dan dikesan lebih awal kami boleh berikan nasihat berhubung tindakan susulan bersesuaian termasuk  jenis rawatan yang  ditawarkan ketika ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Ridzuan berkata, pemeriksaan itu menggunakan kaedah saringan berasaskan darah sebelum sampel dianalisis di makmal, dengan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Katanya, saringan itu turut memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pemeriksaan tanpa perlu menanggung kos yang tinggi.

Dalam pada itu, Ridzuan berkata, sambutan masyarakat terhadap saringan tersebut menggalakkan apabila kehadiran peserta berlaku secara berterusan sepanjang program berlangsung.

Menurutnya, NCSM Melaka akan terus memperluaskan saringan seumpama itu secara berkala di seluruh negeri bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kanser.

“Saringan seperti ini kami buat secara berkala seluruh Negeri Melaka. Seterusnya, kami akan berada di Dewan Japerun Lendu pada 26 September ini,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

578
Kongsi :
Previous post SARUNG BUKAN SEKADAR WARISAN, SIMBOL PELANCONGAN – NORANIZA IDRIS
Next post BANTUAN RM8,000 PERKASA PDK SERI KEMUNTING, BERI MANFAAT KEPADA 40 PELATIH