SARUNG BUKAN SEKADAR WARISAN, SIMBOL PELANCONGAN – NORANIZA IDRIS

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 19 September – Sarung bukan sekadar pakaian tradisional masyarakat tempatan, malah mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk warisan dan pelancongan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

Penyanyi dan penggiat budaya Malaysia, Noraniza Idris berkata, keunikan sarung yang boleh digayakan bersama pakaian tradisional pelbagai budaya menjadikan penganjuran Keretapi Sarong sebagai platform menarik untuk memperkenalkan warisan tempatan kepada pelancong asing.

Menurutnya, kemeriahan program yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar budaya dalam pakaian tradisional masing-masing berupaya mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan pelancong yang melihatnya.

Katanya, kehadiran pelancong asing termasuk dari Korea Selatan yang menyaksikan kemeriahan Keretapi Sarong membuktikan elemen budaya tempatan mampu menjadi daya tarikan tersendiri.

“Bila pelancong luar negara tengok dari jauh, dia akan datang dan dia ingin tahu.

“Ini yang kita mahu, sarung bukan hanya dipakai oleh kita tetapi kita angkat sebagai produk warisan supaya orang luar juga kenal dan tahu tentang sarung kita,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Keretapi Sarong Melaka 2026 pada 16 September lalu.

Pelantun lagu Dikir Puteri itu berkata, sarung sememangnya dekat dengan kehidupan masyarakat terdahulu, khususnya sebagai pakaian yang biasa digunakan dalam kehidupan seharian.

Namun katanya, perubahan zaman menyebabkan pemakaian sarung semakin kurang diamalkan oleh generasi baharu, justeru program seperti Keretapi Sarong mampu menjadi ruang untuk menghidupkan kembali budaya berkenaan dalam suasana yang lebih santai dan dekat dengan masyarakat.

“Ekor tapis sarung ini adalah untuk komuniti mengimarahkan budaya warisan memakai sarung. Sarung ini memang diamalkan oleh masyarakat kita, tetapi sekarang semakin ditinggalkan oleh generasi sekarang,” katanya.

Menurutnya, pemakaian sarung dalam Keretapi Sarong juga menunjukkan bagaimana warisan tempatan boleh diketengahkan bersama identiti budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Katanya, apabila masyarakat mengenakan pakaian tradisional masing-masing bersama sarung, ia bukan sahaja menampilkan kepelbagaian budaya, malah mewujudkan satu identiti visual yang menarik perhatian orang luar.

Justeru, ujarnya, rakyat Malaysia sendiri perlu mengambil peranan untuk mengangkat sarung sebagai produk warisan yang mempunyai nilai budaya dan potensi untuk diperkenalkan ke peringkat dunia.

Katanya, usaha berkenaan juga boleh membuka ruang untuk sarung diketengahkan sebagai sebahagian daripada produk pelancongan negara, termasuk kepada pelancong antarabangsa yang mahu mengenali budaya tempatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

581
Kongsi :
Previous post KEPRIHATINAN TOK RAUF KEKUATAN MANGSA KEBAKARAN  BANGKIT SEMULA
Next post TAK PERLU TUNGGU SIMPTOM, KOMUNITI DIGALAK MANFAATKAN SARINGAN KANSER PERCUMA