ANGGUR BERBUAH MANIS DI BUMI AYER LIMAU

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

AYER LIMAU 26 September – Bermula dengan hanya 10 hingga 20 pokok di tepi rumah, minat sebuah keluarga terhadap tanaman anggur kini berkembang menjadi ladang lebih 350 pokok yang turut menjadi tarikan agropelancongan di Ayer Limau.

Lebih menarik, usaha keluarga Mohamad Dzarul Hakim, 31, bersama ibu bapanya, Dol Malek Md Sap, 61, dan Maizah Jalil, 59, turut membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap pelbagai benih anggur dari luar negara bagi mendapatkan varieti yang paling sesuai ditanam dalam iklim tempatan.

Dzarul Hakim berkata, minat pengunjung terhadap tanaman anggur yang pada awalnya diusahakan sekadar hobi mendorong ibu bapanya mengembangkan tanaman berkenaan sehingga kini diusahakan di kawasan seluas lebih 0.4 hektar.

“Walaupun pada awal pembabitan hanya di tepi rumah tetapi ramai yang menunjukkan minat dan datang melihat. Daripada situ ibu dan ayah sepakat untuk meluaskan tanaman anggur ini.

“Pada masa yang sama kami cuba melakukan R&D benih-benih yang dibawa masuk dari luar seperti Amerika Syarikat dan Ukraine,” katanya.

Menurutnya, daripada 118 jenis benih yang diuji, kira-kira 50 jenis berjaya menghasilkan buah sebelum hanya empat varieti dipilih selepas memenuhi kriteria ditetapkan keluarga berkenaan.

Katanya, antara kriteria utama ialah varieti yang mudah berbuah, tahan lasak, mempunyai rasa manis dan beraroma selain menghasilkan buah dengan warna menarik.

“Kini ladang kami mempunyai anggur jenis Jupiter, Velles dan Heliodor,” katanya.

Dzarul Hakim berkata, tanaman anggur berkenaan diusahakan dalam rumah lindungan hujan bagi melindungi buah daripada kelembapan tinggi yang boleh menjejaskan kualiti tanaman.

Katanya, tuaian biasanya dilakukan setiap empat bulan dengan setiap rumah tanaman mampu menghasilkan antara 60 hingga 100 kilogram bagi satu tuaian.

“Jumlah itu tidak mampu menampung permintaan pasaran dan disebabkan itu kami hanya menjual kepada pengunjung yang datang ke Amanda Putri’s Garden sahaja,” katanya.

Menurutnya, operasi ladang kini diuruskan bersama dua adiknya dengan setiap seorang memainkan peranan masing-masing bagi memastikan pengurusan tanaman serta aktiviti agropelancongan berjalan lancar.

Selain menjual hasil tuaian, Dzarul Hakim berkata, pihaknya turut membuka ruang kepada pengunjung yang berminat untuk mempelajari teknik penanaman anggur, termasuk menyediakan kelas bagi mereka yang mahu mendalami bidang berkenaan.

“Kebiasaannya pada musim buah, kami menerima sehingga 1,000 pengunjung bukan sahaja dalam negara tetapi dari luar seperti Singapura, Brunei dan China.

“Kedatangan ini bukan sahaja membantu menjana pendapatan kami, malah secara tidak langsung komuniti perniagaan setempat lain yang menerima impak,” katanya.

Mengulas perancangan masa depan, Dzarul Hakim berkata, pihaknya bercadang membangunkan sebuah kafe yang menghasilkan produk hiliran berasaskan anggur seperti jus, roti dan jem, selain memperluaskan kawasan tanaman sedia ada.

Ujarnya, langkah itu diharap dapat memperkukuh lagi kedudukan ladang berkenaan sebagai produk agropelancongan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada keluarga dan komuniti setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post SIRIH JUNJUNG SEBAGAI ‘KEPALA ADAT’ LAMBANG KESOPANAN, ADAB ORANG MELAYU