
VATICAN CITY SIMPAN RAHSIA SEJARAH HANG TUAH
AYER KEROH 26 September – Vatican City dikatakan menyimpan satu rahsia sejarah yang berpotensi membuka lembaran baharu mengenai Laksamana Hang Tuah, termasuk dakwaan bahawa tokoh berkenaan pernah sampai ke Rom.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri sedang berusaha membongkar pelbagai catatan sejarah yang tersimpan di luar negara, termasuk kemungkinan wujud dokumen berkaitan Hang Tuah di Vatican City.
Jelas beliau, perkara itu dimaklumkan Arkib Negara Malaysia yang dijangka akan mengatur lawatan ke negara kecil itu bagi membongkarkan sejarah berkenaan.
“Kenapa Vatican City? Sebuah negeri, sebuah negara yang begitu kecil dalam dunia ini tetapi mempunyai kuasa besar dalam pengaruh Kristian.
“Namun di sebaliknya, Vatican City dikatakan tersimpan satu sejarah yang akan merubah kisah kehebatan Hang Tuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Musyawarah Nasional 3.0 ‘Membongkar Polemik Tanah Melayu’ yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, antara perkara yang ingin diteliti ialah catatan yang dikaitkan dengan Leonardo da Vinci, tokoh Renaissance Itali yang turut terkenal sebagai pelukis karya Mona Lisa.
“Kerana dalam catatan yang dituliskan oleh Leonardo da Vinci, arkitek Kota Venice dan juga pelukis potret terkenal Mona Lisa, melakarkan satu ungkapan amat kagum dengan kehebatan laksamana muda daripada Melaka kerana datang ke Rome berjumpa dengan Maharaja Rome,” katanya.
Beliau berkata, maklumat berkenaan turut pernah disampaikan kepadanya oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang dikatakan berjaya meneliti bahan sejarah di Vatican City berkaitan perkara itu.
Ab Rauf berkata, sekiranya berpeluang berbuat demikian, beliau akan ke Vatican City bagi meneliti sendiri bahan sejarah berkenaan.
Beliau berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada penyelidikan yang sedang dilakukan Kerajaan Negeri bagi membongkar pelbagai rahsia sejarah yang masih tersembunyi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


