
AKAR TANAH MELAYU JANGAN DIHAPUS DEMI KEPENTINGAN POLITIK – AHMAD ZAHID
AYER KEROH 26 September – Asas dan akar umbi berkaitan Tanah Melayu tidak seharusnya dihapuskan demi kepentingan politik mana-mana pihak, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, persoalan berkaitan Tanah Melayu masih timbul dan kerap dibincangkan semula kerana terdapat ideologi serta pegangan parti politik tertentu yang dilihat seolah-olah mahu menghapuskan asas berkenaan atas kepentingan politik masing-masing.
“Isu yang diperbincangkan itu masih timbul dan kerap timbul kerana ideologi dan pegangan parti-parti politik tertentu yang merasakan bahawa asas dan akar umbi itu (polemik Tanah Melayu) harus dihapuskan kerana kepentingan politik masing-masing.
“Jadi, kita berpandangan perbincangan dan kefahaman mengenai Tanah Melayu dan asas kenegaraan ini harus mendepani semua persoalan yang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Musyawarah Nasional 3.0 – Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Pengerusi Musyawarah Nasional Tan Sri Datuk Abdul Ghani Othman serta kenamaan lain.
Menurut Ahmad Zahid, wacana intelektual itu diadakan secara bersiri dengan membincangkan tajuk-tajuk yang bersifat topikal, termasuk isu lama yang kembali diperbaharui dalam konteks semasa.
Katanya, perbincangan berkaitan Tanah Melayu perlu diberi perhatian kerana isu berkenaan mempunyai kaitan dengan sejarah, kontrak sosial dan Perlembagaan yang menjadi asas kepada pembentukan negara.
“Keindukan ini harus menjadi asas kepada ekosistem bukan hanya kepada pendidikan, sosioekonomi, malah dalam sistem politik yang ada dalam negara kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


