MATA PELAJARAN SEJARAH PERLU SENTIASA DIKAJI, DIKEMAS KINI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 26 September – Mata pelajaran Sejarah perlu sentiasa dikaji dan dikemas kini selaras perubahan sosio-budaya semasa bagi memastikan kandungannya terus relevan dengan perkembangan masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pengkajian berterusan penting khususnya dalam memastikan pendidikan sejarah mampu membimbing generasi muda memahami sejarah berdasarkan sumber dan fakta, selain menilai sesuatu tafsiran secara bertanggungjawab.

“Pengkajian itu memang sentiasa perlu dilakukan berdasarkan perubahan sosio-budaya pada setiap masa.

“Tentunya kita lihat mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu itu penting, di mana dasar kita telah menetapkan mata pelajaran ini menjadi wajib termasuk kepada mereka yang tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), umpamanya daripada aliran vernakular atau pendidikan Islam.

“Ketetapan ini bukan sahaja penting untuk tujuan melanjutkan pelajaran, tetapi juga sebagai pengiktirafan dalam alam pekerjaan, khususnya sektor awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Musyawarah Nasional 3.0 – Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Pengerusi Musyawarah Nasional Tan Sri Datuk Abdul Ghani Othman serta kenamaan lain.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan perasmian, Ahmad Zahid yang juga Pengasas Musyawarah Nasional berkata, pengukuhan pendidikan sejarah perlu menjadi antara tindakan yang perlu diambil perhatian bagi memastikan generasi muda mempunyai keupayaan menilai kesahihan sesuatu maklumat.

“Menerusi pengukuhan pendidikan sejarah, anak-anak kita perlu dibimbing untuk meneliti sumber, memahami bagaimana sejarah itu dibentuk dan dibuktikan. Berilah mereka ruang untuk bertanya dan menguji tafsiran, dengan tetap bertanggungjawab terhadap fakta.

“Dalam dunia yang dibanjiri maklumat, keupayaan ini semakin penting. Teknologi boleh menjadikan sesuatu cerita tular, tetapi ilmu diperlukan untuk menguji sama ada cerita itu benar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

186
Kongsi :
Previous post AKAR TANAH MELAYU JANGAN DIHAPUS DEMI KEPENTINGAN POLITIK – AHMAD ZAHID