IKHTIAR TOK HAMEED AKHIRI EPISOD BANJIR DI AYER LIMAU

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER LIMAU 4 Oktober – Sebanyak 11 lintasan pembetung (crossing culvert) di jajaran terusan sungai atau tali air di Kampung Bukit Apit dan Kampung Ayer Limau akan diubah dengan kos hampir RM1 juta dalam usaha menangani masalah banjir yang sering berlaku di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, struktur crossing culvert sedia ada dikenal pasti antara punca berlakunya banjir apabila tidak mampu menampung aliran air yang tinggi ketika hujan lebat.

Katanya, kerja pengubahsuaian kesemua 11 struktur berkenaan dijangka dapat meningkatkan keupayaan aliran air sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan terbabit.

“Langkah-langkah mengatasi banjir yang baharu akan dilakukan di jajaran terusan sungai atau tali air di Kampung Bukit Apit dan Kampung Ayer Limau, di mana sebanyak 11 crossing culvert akan diubah dengan nilai kos hampir RM1 juta.

“Sebelum ini, crossing culvert sedia ada menjadi antara punca banjir di kawasan Ayer Limau sebab ia itu tidak mampu menampung air yang banyak ketika hujan lebat. Atas faktor itu kajian dilakukan dan kita tambah baik masalah ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, pelaksanaan kerja berkenaan dijadualkan pada tahun ini dan diharap dapat memberikan penyelesaian lebih berkesan terhadap isu banjir yang berlaku di kawasan berkenaan.

“Insya-Allah, projek ini akan dilaksanakan pada tahun ini juga dan dijangka dapat mengakhiri episod banjir yang melanda kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hameed berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM3 juta bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan Bulatan Lubok China yang turut berdepan kejadian banjir berulang.

Katanya, usaha berkenaan membuktikan isu banjir terus diberi perhatian dengan penyelesaian dilaksanakan berdasarkan punca serta keadaan setempat.

“Saya amat berharap projek-projek ini memberi manfaat kepada penduduk Ayer Limau khususnya dengan mengurangkan risiko gangguan akibat banjir serta meningkatkan keupayaan sistem saliran menampung aliran air,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

755
Kongsi :
Previous post DARI KANDANG HINGGA LANDSKAP, ZOO MELAKA AKAN DICERIAKAN