TANJUNG BIDARA BUKA DIMENSI BAHARU EKONOMI DIGITAL

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TANJUNG BIDARA 5 Oktober – Tanjung Bidara bakal mencipta dimensi baharu dalam sektor ekonomi dan teknologi apabila sebuah pusat data kecerdasan buatan (AI Data Center) terbesar di Melaka dirancang dibangunkan di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan itu merupakan sebahagian daripada potensi besar Tanjung Bidara yang dilihat mampu berkembang sebagai kawasan ekonomi digital yang bakal membangun.

Menurutnya, kedudukan strategik Tanjung Bidara yang menjadi lokasi kemasukan kabel dasar laut ke Malaysia turut membuka peluang kepada pelaburan berasaskan teknologi dan pusat data.

“Tanjung Bidara ini sebenarnya orang banyak tak tahu bahawa kabel dasar laut yang masuk ke Malaysia ini di Melaka iaitu di kawasan Padang Kemunting Tanjung Bidara. Internet yang kita guna sekarang ini di situlah puncanya

“Kewujudan infrastruktur itulah menjadi antara faktor yang membuka ruang kepada kemasukan pelaburan baharu dalam sektor pusat data di kawasan Tanjung Bidara, di mana ia akan menjadi pusat data terbesar di Negeri Melaka tidak lama lagi,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Selain ekonomi digital, Ab Rauf berkata, Tanjung Bidara juga menjadi kawasan sub-ekonomi biru membabitkan pembangunan jeti pelabuhan sementara oleh sebuah syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) antarabangsa terkemuka di Asia Tenggara.

“Kita akan ada jeti pelabuhan sementara yang kalau tengok syarikat ini, mereka sedang menggunakan seluruh kawasan pantai itu untuk mendapatkan satu ekosistem ekonomi biru yang terbaik.

“Secara tidak langsung semua ini dapat merancakkan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi di kawasan ini,” katanya.

Tambah beliau, perkembangan tersebut memperlihatkan potensi Tanjung Bidara yang bukan sahaja bergantung kepada sektor pelancongan, malah mampu membentuk ekosistem baharu melibatkan ekonomi biru, tenaga, telekomunikasi dan teknologi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

881
Kongsi :
Previous post IKHTIAR TOK HAMEED AKHIRI EPISOD BANJIR DI AYER LIMAU
Next post GLAMPING TASIK CHINCHIN MULA DIBANGUNKAN 2027