MPHTJ TINGKAT OPERASI PREMIS WARGA ASING

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 5 Oktober – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) meningkatkan operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, penguatkuasaan juga bertujuan mengesan premis milik warga tempatan yang disewakan kepada golongan berkenaan bagi tujuan menjalankan perniagaan.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga September 2026 MPHTJ melaksanakan 13 operasi bersepadu dan 33 operasi dalaman atau semakan membabitkan penguatkuasaan terhadap warga asing.

Menurutnya, sepanjang tempoh sama, MPHTJ turut mengeluarkan 14 kompaun, 29 notis dan melaksanakan 19 tindakan sitaan premis.

“Operasi yang kita jalankan lebih tertumpu kepada premis yang melibatkan warga asing khususnya peniaga asing yang menjalankan operasi perniagaan.

“Sekiranya pemeriksaan mendapati tiada sekurang-kurangnya seorang warganegara Malaysia berada di kaunter atau premis seperti yang ditetapkan tindakan akan diambil,” katanya.

Menurut Sapiah, tindakan sitaan biasanya dilaksanakan terhadap premis yang melakukan kesalahan berulang lebih tiga kali selain gagal mematuhi syarat ditetapkan.

“Setakat ini, empat premis sudah dikenakan tindakan sitaan dan antara kesalahan berulang yang dikesan adalah membabitkan premis menjalankan aktiviti perjudian.

“Kami turut mengesan kes pemilik premis menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan,” katanya.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan dijalankan hampir setiap minggu dengan sasaran sebanyak 600 operasi berkaitan warga asing ditetapkan sepanjang tahun ini.

“Ini adalah antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kita dan operasi akan diteruskan secara berkala bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan.

“Malah MPHTJ turut bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Imigeresen Malaysia dalam menjalankan operasi warga asing ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1945
Kongsi :
Previous post MeSRa: ANAK MUDA MELAKA DIBERI RUANG BERSUARA, BELAJAR MEMIMPIN
Next post MELAKA ‘KILANG’ PEKERJAAN, KADAR PENGANGGURAN RENDAH