PENANTIAN BERAKHIR, MELAKA BINA KEMUDAHAN RITUAL TERAKHIR MASYARAKAT INDIA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 7 Oktober – Penantian masyarakat India di Melaka untuk mendapatkan kemudahan khusus bagi melaksanakan ritual terakhir bakal berakhir apabila tiga unit gazebo akan dibina bagi menyediakan ruang yang lebih selesa dan sesuai untuk upacara berkenaan.

Timbalan Pengerusi Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) Negeri Melaka, Datuk VP Shanmugam berkata, peruntukan berjumlah RM100,000 itu diluluskan Kerajaan Negeri bagi membangunkan kemudahan yang turut boleh digunakan oleh masyarakat lain.

Katanya, pembinaan tiga gazebo berkenaan akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR), dan dijangka bermula dalam tempoh satu hingga dua bulan.

“Kerajaan Negeri meluluskan RM100,000 untuk pembinaan tiga gazebo untuk guna sama. Ia bukan hanya untuk masyarakat India sahaja tetapi boleh digunakan sesiapa, namun keutamaan adalah bagi kaum India.

“Pembinaan telah mendapat kelulusan dan dijangka dimulakan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi sebelum siap pada awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peletakan Batu Asas Tempat Ritual Terakhir Masyarakat India Melaka yang turut dihadiri Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah, di sini, hari ini.

Shanmugam yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, penyediaan kemudahan berkenaan merupakan hasil perjuangan berterusan pemimpin negeri di Melaka dan bukan usaha yang hanya muncul menjelang pilihan raya.

Katanya, pembinaan kemudahan itu juga merealisasikan antara manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 yang lalu.

“Jadi kita telah melaksanakan janji yang diberikan kepada rakyat. Bukan setakat janji tetapi upacara secara adat masyarakat India sudah dilakukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

457
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: SIAPA RAKAN STRATEGIK BN? TUNGGU RUNDINGAN SELESAI
Next post MAIM DISARAN SEDIA KIOS CENDERAMATA PRODUK MELAKA DI MASJID SELAT