PRN MELAKA: SENARAI CALON BN SEDANG DITELITI

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 7 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka telah menerima senarai nama calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dan kini dalam proses penelitian serta analisis sebelum dimuktamadkan.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, semua nama calon yang dikemukakan Ketua-Ketua UMNO Bahagian telah diterima dan penelitian akan dibuat dari pelbagai sudut sebelum keputusan mengenai calon ditentukan.

“Nama semua sudah diserah pada saya. Cuma penyerahan itu belum lagi dibuatkan kajian dan analisis pada pelbagai sudut untuk dibuat penilaian.

“Saya akan umumkan nanti dan saya akan beritahu. Jangkaannya mesti sebelum penamaan calon,” katanya pada sidang media khas yang turut dihadiri Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Bilik Mesyuarat Hang Jebat, di sini, hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka berkata, proses penelitian itu penting bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar mampu membawa suara rakyat dan memperjuangkan aspirasi mereka.

PRN Melaka Ke-16 menyaksikan rakyat Melaka akan mengundi pada 14 November ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Pada 23 September lalu, Ab Rauf mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN KEKAL TANDING 21 DUN, RUNDING PERTUKARAN KERUSI
Next post PRN MELAKA: MIC HARAP KERUSI GADEK KEKAL