60 TAHUN MENANTI, MELAKA REALISASI ASPIRASI MASYARAKAT INDIA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 8 Oktober – Penantian hampir 60 tahun masyarakat India di Melaka untuk memiliki tapak khas bagi melaksanakan ritual keagamaan bakal berakhir apabila Kerajaan Negeri meluluskan kawasan seluas 10,000 kaki persegi bagi penyediaan kemudahan berkenaan.

Ketua Pemuda MIC Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Belia Taboh Naning, Kuhan Ram berkata, kelulusan itu menjadi titik penting kepada perjuangan masyarakat India yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Katanya, selain kelulusan tapak, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan tiga unit gazebo yang akan digunakan sebagai kemudahan pelaksanaan ritual penyucian keagamaan, khususnya upacara pada hari ke-16 selepas kematian.

“60 tahun adalah satu tempoh yang panjang. Ini bukan sekadar tentang sebuah kemudahan, tetapi tentang sebuah aspirasi masyarakat yang akhirnya menjadi kenyataan hasil kesinambungan perjuangan pelbagai pihak.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas keprihatinan Kerajaan Negeri serta Exco Kerajaan Negeri, Datuk VP Shanmugam atas komitmen berterusan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Peletakan Batu Asas Tempat Ritual Terakhir Masyarakat India Melaka di sebuah kawasan lapangan berhampiran Jeti Syahbandar, di sini, pada Rabu.

Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah dan Shanmugam.

Menurut Kuhan, projek berkenaan merupakan antara perkara yang terkandung dalam manifesto kepimpinan Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021 dan ia berjaya direalisasikan.

Katanya, projek berkenaan kini diserahkan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk penyelarasan, dengan pemantauan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dimaklumkan, pembinaan tiga unit gazebo itu dijangka dimulakan dalam tempoh satu hingga dua bulan dan disasarkan siap sepenuhnya pada awal tahun depan.

Tapak berkenaan akan dibuka secara percuma kepada semua penganut Hindu tanpa mengira fahaman politik, manakala pengurusan dan pemantauannya akan dilaksanakan Malaysia Hindu Sangam (MHS) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

692
Kongsi :
Previous post MAIM DISARAN SEDIA KIOS CENDERAMATA PRODUK MELAKA DI MASJID SELAT
Next post ECO-CRUISE PAYA LEBAR SAJIKAN TARIKAN BERTARAF LIMA BINTANG BUAT PELANCONG