
ZON BEBAS KENDERAAN: PELANCONG AKUI LEBIH SELAMAT, SEMAKIN SELESA BERSANTAI DI BANDA HILIR
BANDA HILIR 13 Oktober – Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan mengubah wajah Banda Hilir, seterusnya menawarkan pengalaman bersantai di Melaka dalam suasana baharu yang lebih tenang, selesa dan selamat.
Sebelum ini pengunjung luar yang datang ke Melaka cuma mengintai tempat-tempat menarik seperti tinggalan sejarah dari tingkap kenderaan, namun sekarang mereka boleh meluangkan masa yang lebih lama untuk meneroka keunikan yang ada di setiap lokasi berkenaan.
Malah pengunjung ke Banda Hilir sekarang ini bebas berjalan dan memilih lokasi yang mahu dilawati untuk bergambar atau mencari ketenangan tanpa risau kehadiran mereka mengganggu aliran trafik seperti sebelum inisiatif Zon Bebas Kenderaan dilaksanakan.
Selepas hampir tiga tahun dilaksanakan inisiatif itu kini dipuji oleh peniaga kerana membantu mereka menjana pendapatan lebih lumayan, manakala pengunjung pula dapat bersantai dalam suasana tenang.

Bagi pengunjung dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Norazuan Aman Shah, 60, berkata inisiatif itu menjadikan orang ramai lebih dekat dengan Banda Hilir.
“Apabila berjalan dari satu lokasi ke lokasi seterusnya pemerhatian kita pastinya lebih teliti, berbeza apabila bergerak dengan menaiki kenderaan, semuanya perlu cepat. Cara ini menjadikan saya lebih puas, hendak berjalan pula tidak ada gangguan kereta atau motosikal.
“Jika haus boleh singgah sebentar untuk membasahkan tekak atau menikmati makanana ringan ditawarkan di gerai-gerai berhampiran, mahu beli cenderahati juga tidak perlu pergi jauh kerana semuanya ada di satu lokasi.
“Kaedah ini lebih tersusun dan memudahkan pengunjung, benda baik saya puji dan Kerajaan Negeri perlu teruskan inisiatif dilaksanakan ini,” katanya.

Sementara itu Amira Husna Abd Rashid, 34, dari Tangkak, Johor berkata, tanpa kehadiran kenderaan suasana sekitar Banda Hilir sekarang lebih nyaman dan menyegarkan.
“Sekarang mahu bersiar-siar sekitar Banda Hilir saya berasa lebih selamat, lebih lagi ketika menyorong kereta sorong anak. Berbeza dengan dulu mahu melintas jalan perlu lebih berhati-hati risau kalu ada kenderaan yang lalu.
“Mahu ambil gambar juga tidak perlu tergesa-gesa, boleh ambil macam-macam gaya, semenjak inisiatif ini dilaksanakan saya semakin kerap ke Melaka, terutama apabila ada penganjuran program tertentu, suasana pasti lebih meriah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


