MELAKA PERKUKUH SOKONGAN KEPADA KELUARGA ANAK AUTISME

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DUYONG 13 Oktober – Seminar Keibubapaan dan Pendidikan Inklusif 2026 menjadi platform untuk memperkukuh pemahaman ibu bapa mengenai autisme, khususnya dalam menghadapi cabaran membesarkan anak neurodivergen dan menyokong pendidikan inklusif.

Seminar anjuran Putra Specialist Hospital Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Duyong itu berlangsung di Auditorium Hang Tuah, Duyong dan dirasmikan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Bertemakan ‘Mengurus Anak Autisme dengan Yakin: Memperkasa Ibu Bapa, Mengukuhkan Keluarga’, program itu menghimpunkan ibu bapa, penjaga, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam untuk mendalami pemahaman mengenai autisme serta neurodivergens.

Antara pengisian utama ialah Forum Pendidikan Inklusif: Anak Neurodivergen di Sekolah – Cabaran, Sokongan dan Kerjasama Ibu Bapa dengan Sekolah yang mengetengahkan cabaran dihadapi keluarga, keperluan sokongan psikososial serta kepentingan kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah.

Forum itu menampilkan Kaunselor dan Pensyarah International College of Yayasan Melaka (ICYM), Noriza Hussain; Pegawai Psikologi Klinikal Hospital Melaka, Siti Nur Aisyah; serta wakil Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Nor Azmidy Ismail.

Sesi berkenaan dikendalikan Pakar Pediatrik dan Perkembangan Kanak-kanak Hospital Melaka, Dr. Joanne Low Lee Ling. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital Melaka, Mohd Zahiruddin Ahmad.

Noriza yang berkongsi pengalamannya sebagai ibu kepada anak autisme turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak menjadikan perbezaan anak sebagai alasan untuk mengetepikan potensi mereka.

“Jangan matikan harapan kita hanya kerana anak kita berbeza daripada anak orang lain,” katanya.

Selain forum, seminar itu turut merangkumi bengkel praktikal berkaitan pengurusan kanak-kanak yang memilih makanan (picky eater), teknik komunikasi bagi kanak-kanak yang mengalami kelewatan pertuturan (speech delay), serta aktiviti sensori dan kemahiran motor halus yang boleh dilakukan di rumah.

Pendedahan itu memberi peluang kepada ibu bapa dan penjaga mempelajari pendekatan praktikal yang boleh disesuaikan dengan keperluan anak dalam kehidupan seharian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

628
Kongsi :
Previous post GURAUAN JANGAN SAMPAI BERTUKAR JADI BULI
Next post ZON BEBAS KENDERAAN: PELANCONG AKUI LEBIH SELAMAT, SEMAKIN SELESA BERSANTAI DI BANDA HILIR