
TAMBAHAN BANTUAN STR, SARA BERI IMPAK BESAR BUAT RAKYAT
AYER KEROH 12 Oktober – Peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) amat membantu rakyat untuk menangani peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Inisiatif menerusi Belanjawan 2027 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat memberi ruang kepada penerima yang layak mengurus perbelanjaan harian dengan lebih baik.
Bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan perbelanjaan dapur, terutama ketika harga barangan keperluan terus menjadi antara pertimbangan utama dalam mengurus kewangan isi rumah.
Bagi penerima STR dan SARA, Masitah Kadir, 38, berkata, peningkatan insentif itu amat bermakna kerana wang berkenaan boleh digunakan untuk menampung keperluan harian keluarganya.
“Walaupun peningkatan RM50, ia tetap membantu, lebih-lebih lagi apabila kita perlu membeli barang dapur setiap hari. Sekrang lebih mudah untuk merancang perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Sementara itu, bagi peniaga Zahari Tumin, 54, juga penerima STR dan SARA berkata peluasan bantuan kepada pembelian barangan basah berpotensi memberi manfaat kepada pengguna selain membantu merancakkan urusan jual beli di pasar atau kedai runcit.
Jelasnya, perbelanjaan untuk bahan mentah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran merupakan keperluan berterusan perlu ditanggung isi rumah, justeru bantuan bersasar sedemikian dapat memberikan sedikit kelegaan kepada pengguna.
“Bagi peniaga, apabila pengguna mempunyai sedikit lebihan untuk berbelanja, ia mungkin membantu pergerakan jualan. Namun, kesannya bergantung juga pada harga barang dan kuasa beli masing-masing.
“Namun sebagai ketua keluarga, peningkatan RM50 dari RM100 ke RM150 itu dilihat memberi impak positif,” katanya.
Manakala pelajar sebuah universiti awam, Nuzulhafidz Madnoh, 21, yang layak menerima SARA berkata peningkatan bantuan berkenaan membantu mengurangkan perbelanjaan makanan, sekali gus memberi ruang kepada pelajar mengurus wang untuk keperluan pengajian lain.
Katanya, kos makan minum, pengangkutan dan bahan pembelajaran perlu diurus dengan peruntukan terhad, terutama bagi pelajar yang bergantung kepada bantuan keluarga atau pinjaman pendidikan.
“Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli keperluan makanan, seperti saya yang tinggal di rumah sewa di Melaka ini, sudah pasti insentif ini dapat saya manfaatkan untuk beli barang basah, masak sendiri untuk penjimatan yang mana ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian.
“Bagi pelajar macam saya ini, wang yang dapat dijimatkan boleh digunakan untuk keperluan pengajian lain,” katanya yang berasal dari Selangor.
Terdahulu, Kerajaan mengumumkan menerusi Belanjawan 2027 dengan seramai sembilan juta penerima STR bakal menikmati bantuan SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.
Kerajaan turut menyediakan SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang sambutan kemerdekaan.
Inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40) dan usaha itu dilihat dapat memperluas akses kepada barangan keperluan.
Selain itu kerajaan membenarkan penggunaan SARA untuk membeli barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

