
MAIM PERSIAP ANAK ASNAF TEMPUH ALAM KERJAYA
BUKIT KATIL 13 Oktober – Anak asnaf yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi perlu memanfaatkan tempoh pembelajaran untuk membina pengetahuan dan kemahiran sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Persiapan awal menempuh alam pekerjaan menjadi antara pengisian utama yang disediakan pada Himpunan Bitara Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2026 yang menghimpunkan 84 anak penerima bantuan zakat berusia 18 hingga 25 tahun.
Ketua Unit Pembangunan Asnaf, Bahagian Pembangunan Insan MAIM, Muhammad Azizol Mohd Sahimi berkata, program itu menyediakan platform kepada peserta untuk mendapatkan pendedahan daripada individu berpengalaman dalam bidang pendidikan tinggi, sekali gus membantu mereka merancang langkah sepanjang tempoh pengajian dan menuju ke alam pekerjaan.
Menurutnya, seramai dua pakar dijemput bagi berkongsi pengetahuan dan pengalaman, termasuk dekan Fakulti Teknologi dan Elektrik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta wakil Pusat Pengambilan Pelajar Multimedia University (MMU).
“Perkongsian ini memberi tumpuan kepada perkara yang boleh dimanfaatkan peserta ketika di alam pengajian serta persediaan awal bagi menghadapi keperluan alam pekerjaan selepas tamat belajar.
“Ketika mereka masih belajar, sebenarnya mereka juga sedang bersedia untuk menempuh alam pekerjaan. Jadi, platform ini kita manfaatkan untuk berkongsi perkara yang boleh membantu mereka membuat persediaan lebih awal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Muhammad Azizol berkata, pendedahan seumpama itu diharap dapat mendorong peserta melihat tempoh pengajian bukan sekadar untuk memperoleh kelayakan akademik, malah sebagai peluang membina keupayaan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan dan seterusnya mengubah nasib keluarga.
Himpunan Bitara MAIM yang mula dilaksanakan pada 2025 itu kini memasuki edisi kedua dan menghimpunkan pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di dalam dan luar Melaka, meliputi peringkat persijilan hingga ijazah sarjana muda.
Selain pengisian ilmu, kesemua peserta turut menerima sumbangan Kad Rahmah Bloom Mekar yang menawarkan potongan RM20 bagi perkhidmatan kesihatan di cawangan Klinik MediPulih yang ada di Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


