
MeSRa: MELAKA SALUR JUTAAN RINGGIT BELA NELAYAN, JAGA PETANI DAN PESAWAH
AYER KEROH 13 Oktober – Kerajaan Negeri memperkukuh kebajikan komuniti nelayan, petani dan pekebun kecil menerusi pelbagai inisiatif bantuan kewangan, kemudahan teknologi serta pembangunan infrastruktur bagi mengurangkan tekanan kos operasi dan meningkatkan produktiviti sektor agro negeri.
Inisiatif di bawah payung Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu mencerminkan usaha Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, memastikan golongan yang menjadi tunjang keterjaminan makanan terus mendapat perhatian seiring dengan perkembangan ekonomi negeri.
Pelaksanaannya merangkumi bantuan khas RM1 juta kepada nelayan terjejas akibat projek tambakan laut, pengagihan peranti pengesanan ikan, insentif pembajakan serta subsidi logistik, selain kemudahan pembiayaan penanaman semula sawit dan pembinaan jalan ladang.
BELA NASIB, MODENKAN NELAYAN MELAKA
Nelayan yang terkesan susulan pelaksanaan projek tambakan laut antara yang mendapat perhatian apabila sejumlah RM1 juta disalurkan secara sekali beri (one-off).
Selain bantuan peralatan menangkap ikan, peruntukan itu turut dimanfaatkan bagi membiayai projek akuakultur secara berkelompok sebagai usaha membuka sumber pendapatan alternatif kepada komuniti nelayan.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan ketika menangkap ikan, seramai 1,100 nelayan berlesen dan berdaftar bakal menerima peranti GPS Fish Finder atau alat sonar secara berperingkat selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Pengagihan fasa pertama peranti dwifungsi yang menggabungkan sistem penjejak GPS (GPS tracker) dan pengesan ikan (fish finder), selain dilengkapi sistem pengenalan frekuensi radio (RFID), telah disempurnakan di Balai Nelayan Pasir Gembur, Tanjung Bidara pada September lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) meluluskan kebenaran khas untuk menangkap ikan di sebahagian kawasan larangan perikanan di utara perairan Pulau Besar.
Kelonggaran berkenaan dijangka membantu meningkatkan peluang tangkapan bagi 1,241 nelayan tempatan yang memiliki lesen sah di bawah Jabatan Perikanan.
INSENTIF DAN SUBSIDI RINGANKAN BEBAN PETANI, PESAWAH
Bagi membantu pesawah berdepan peningkatan kos operasi jentera, Kerajaan Negeri memperkenalkan Insentif Pembajakan pada kadar RM30 bagi setiap ekar secara sekali beri.
Inisiatif itu disasarkan untuk membantu pesawah mengurus kos kerja pembajakan, dengan kawasan sawah seluas 1,500 hektar di seluruh negeri menjadi sasaran pelaksanaan bantuan berkenaan.
Selain itu, Program Subsidi Insentif Logistik bernilai RM300 secara sekali beri diperkenalkan untuk membantu 300 petani dan pekebun kecil berdaftar dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Bantuan itu menyasarkan pengusaha kecil yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau lori kecil bagi mengangkut hasil pertanian, tetapi tidak layak menikmati kemudahan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kerajaan Negeri turut bersetuju memberikan pengecualian bayaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) selama setahun kepada petani dan penternak yang mengusahakan tanah kerajaan bagi mengurangkan kos pengusahaan mereka.
PUSAT PENYELIDIKAN SAWIT PERTAMA
Lebih membanggakan, Melaka bakal mempunyai Stesen Penyelidikan Strategik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan dibangunkan di Kampung Seri Mendapat, Sungai Rambai.
Projek itu bakal dibangunkan di kawasan seluas 40.46 hektar dengan kos dianggarkan berjumlah RM20 hingga RM25 juta.
Apabila siap kelak, stesen itu bakal membangunkan ladang model, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), makmal moden, pusat latihan, penempatan pegawai TUNAS, pasukan penguat kuasa serta pelbagai kemudahan sokongan yang bakal memperkukuh industri sawit negeri.
Pada masa sama, MPOB juga menawarkan Insentif Pembiayaan Tanam Semula Sawit 2.0 dengan pembiayaan RM14,000 sehektar bagi membantu pekebun mengusahakan penanaman semula.
Kemudahan itu turut menyediakan jadual bayaran balik yang lebih fleksibel, dengan pembayaran bermula pada tahun kelima, sekali gus memberi ruang kepada pekebun mengurus aliran tunai sepanjang tempoh awal tanaman.
Sementara itu, pembangunan infrastruktur pertanian turut diperkasa menerusi pembinaan jalan ladang pekebun kecil sepanjang lima kilometer di Ladang Lembah Kesang.
Projek bernilai RM400,000 di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi itu dijangka memudahkan pergerakan kenderaan serta pengangkutan hasil pertanian, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 200 pekebun kecil di kawasan berkenaan.
Secara keseluruhannya, pelbagai inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada tiga keperluan utama komuniti agro, iaitu mengurangkan beban kos operasi, meningkatkan kecekapan pengeluaran dan memperbaiki kemudahan pengangkutan hasil.
Usaha itu penting bagi memastikan nelayan, petani dan pekebun kecil terus berdaya tahan menghadapi perubahan kos serta cabaran operasi, di samping menyokong kelangsungan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


