IPU TIDAK SIHAT: SEKOLAH DI MELAKA DITUTUP LAGI ESOK

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 13 Oktober – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Melaka ditutup esok (Rabu) berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga lokasi di negeri ini masih berada pada tahap tidak sihat.

Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPN Melaka) dalam kenyataan memaklumkan keputusan penutupan sementara pada 14 Oktober itu dibuat berdasarkan pemantauan bacaan IPU setakat jam 1 tengah hari ini serta laporan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Katanya, penutupan berkenaan turut melibatkan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM dan tadika di Melaka, namun tempoh penutupan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan mengikut garis panduan KPM, manakala guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dibenarkan bekerja dari rumah (BDR).

“Bagaimanapun, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Maklumat dan arahan lanjut berhubung pelaksanaan kedua-dua pentaksiran serta peperiksaan itu boleh dirujuk menerusi laman Facebook rasmi JPN Melaka,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Melaka dinasihatkan supaya sentiasa memantau bacaan IPU di daerah masing-masing menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar.

Warga institusi pendidikan turut diminta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid serta seluruh warga pendidikan sentiasa terpelihara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

827
Kongsi :
Previous post MeSRa PENGANGKUTAN: MELAKA BUKA PELUANG DARI JALAN RAYA KE AWAN BIRU
Next post MAIM PERSIAP ANAK ASNAF TEMPUH ALAM KERJAYA