
‘KAK SOM’ TUNAI JANJI, SRA JAIM BACHANG KINI DALAM PEMBINAAN
PENGKALAN BATU 14 Oktober – Penantian lebih 20 tahun penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu untuk menikmati kemudahan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang lebih kondusif kini semakin hampir menjadi kenyataan menerusi pembinaan sekolah baharu di Kampung Pasir Puteh, Bachang.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin berkata, projek bernilai kira-kira RM6.7 juta itu kini mencapai kemajuan pembinaan 25 peratus dan dijangka siap pada Julai 2027.
Katanya, perkembangan itu memberi kelegaan kepada penduduk yang sekian lama menantikan kemudahan pendidikan agama lebih selesa untuk anak-anak mereka.
“Setelah sekian lama memperjuangkannya, akhirnya kita melihat ada cahaya di DUN Pengkalan Batu, khususnya di Bachang, apabila pembinaan SRA JAIM yang ditunggu sejak beberapa dekad lalu mula menjadi kenyataan.
“Pembinaan sudah mencapai 25 peratus dan saya berasa lega kerana impian penduduk untuk melihat kemudahan ini dibina mula terlaksana. Anak-anak juga bakal mempunyai tempat lebih kondusif dan selesa untuk belajar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, projek di atas tanah seluas 0.67 hektar itu merangkumi pembinaan bangunan sekolah dua tingkat dengan enam bilik darjah serta tadika JAIM.
Menurutnya, bangunan berkenaan turut dilengkapi kemudahan ruang mesyuarat, surau, kantin dan tempat letak kenderaan berbumbung bagi meningkatkan keselesaan murid, warga pendidik, ibu bapa serta orang ramai.
Apabila siap kelak, beliau berkata, sekolah berkenaan dijangka mampu menampung kira-kira 360 murid, sekali gus membantu memenuhi keperluan pendidikan agama di kawasan berkenaan.
“Saya yakin pembinaan sekolah ini akan membawa manfaat besar kepada penduduk, termasuk guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan dalam persekitaran yang selesa,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan SRA JAIM itu juga merupakan antara perkara yang terkandung dalam manifestonya, justeru kemajuan projek berkenaan menjadi perkembangan positif dalam usaha memenuhi keperluan penduduk.
“Untuk sampai ke tahap ini, saya menerima pelbagai tekanan, namun perkara itu menjadi penguat semangat untuk terus berjuang bagi merealisasikan pembinaan sekolah ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


