
KHAIDHIRAH TAWAR DIRI PERTAHAN DUN RIM
AYER KEROH 14 Oktober – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, namun menyerahkan keputusan pencalonan kepada pucuk pimpinan parti.
Beliau berkata, secara peribadi, tiada hasrat untuk berpindah ke kawasan lain dan lebih selesa meneruskan khidmat di DUN Rim yang diwakilinya sejak 2021.
“Saya seperti yang pernah sebutkan sebelum ini, menawarkan diri untuk bertanding dan mempertahankan kerusi N.25 DUN Rim.
“Saya tidak berhajat untuk berpindah ke mana-mana kawasan, melainkan jika ada arahan berbeza daripada pucuk pimpinan. Saya lebih suka mempertahankan kerusi DUN Rim,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Teori Asas Pembuatan Beg Paku di Dewan Yayasan Belia Sedunia (WYF), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khaidhirah berkata, keinginannya untuk terus mewakili Rim turut didorong hubungannya dengan kawasan berkenaan, memandangkan beliau menetap di situ dan berulang-alik setiap hari bagi menjalankan tugas rasmi.
Katanya, sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 23 September lalu, beliau memperuntukkan sebahagian besar masanya untuk berada di kawasan bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk keadaan cuaca tidak menentu.
“Saya memang menetap dalam kawasan. Rumah saya sendiri di Rim dan setiap hari saya berulang-alik ke Melaka untuk bekerja.
“Sejak pembubaran, hampir 85 peratus masa saya dihabiskan dalam kawasan. Cuaca pun tidak berapa baik sekarang, jadi saya lebih selesa berada di kawasan sendiri supaya sekiranya berlaku apa-apa, kita sudah bersedia,” katanya.
Bagaimanapun, Khaidhirah menegaskan beliau tidak akan mendahului keputusan parti dan bersedia menerima apa sahaja ketetapan pucuk pimpinan berhubung pencalonan pada PRN kali ini.
Katanya, setakat ini, beliau masih belum menerima sebarang keputusan rasmi mengenai kedudukannya sebagai calon.
“Saya tidak boleh melangkaui keputusan pucuk pimpinan. Sehingga hari ini, belum ada keputusan dan saya sendiri tidak tahu nasib saya, sama ada tenggelam atau timbul,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, Khaidhirah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Rim dengan memperoleh 4,037 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Azalina Abdul Rahman yang mendapat 2,710 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Prasanth Kumar Brakasam dengan 2,163 undi.
Kemenangan itu memberikan Khaidhirah majoriti 1,327 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon PRN Melaka Ke-16, manakala pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


