
HUGE 2026 PERKUKUH KEMAHIRAN, PACU DAYA SAING PELANCONGAN MELAKA
TABOH NANING 15 Oktober – Penguasaan teknologi, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) terus diberi penekanan dalam usaha memperkukuh kompetensi tenaga kerja bagi memastikan sektor pelancongan Melaka kekal berdaya saing serta mampu menawarkan pengalaman berkualiti kepada pelancong.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, usaha itu antara fokus menerusi penganjuran program Hospitality Upskilling Guide Excellence (HUGE) 2026 yang menghimpunkan tiga kumpulan sasaran, iaitu pemula, pertengahan dan pakar.
Katanya, kekuatan Melaka sebagai destinasi pelancongan bukan hanya bergantung kepada sejarah, warisan, budaya dan gastronomi, malah turut ditentukan oleh keupayaan penggiat industri mencipta pengalaman yang menarik serta meninggalkan kesan kepada pelancong.
“Pembangunan modal insan dalam sektor pelancongan perlu diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan keunikan yang dimiliki negeri ini dapat diterjemahkan kepada pengalaman pelancongan yang lebih bernilai.
“Teknologi membantu kita bekerja dengan lebih pintar, tetapi manusia tetap menjadi jiwa kepada pengalaman pelancongan,” katanya ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Program HUGE 2026, di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan negeri, Nasrul Ahmad; Naib Canselor Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly; dan Pengarah Program HUGE 2026, Siti Mahera Ahmat Amin.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, kumpulan pemula yang merangkumi pelajar dan golongan muda perlu memanfaatkan program itu untuk mengenali bidang pelancongan dan hospitaliti dengan lebih dekat, selain meneroka peluang kerjaya dalam industri berkenaan.
Bagi kumpulan pertengahan yang terdiri daripada pengusaha dan penggiat industri pula, katanya, ilmu serta perkongsian yang diperoleh diharap dapat membantu mereka mengenal pasti keunikan produk dan destinasi masing-masing, seterusnya membangunkan pengalaman pelancongan yang lebih kreatif.
Sementara itu, kumpulan pakar yang merangkumi pemandu pelancong dan profesional industri perlu terus meningkatkan kompetensi bagi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta tingkah laku pelancong yang semakin menggunakan platform digital untuk merancang perjalanan dan berkongsi pengalaman.
“Bagaimanapun, penggunaan teknologi dan AI perlu diseimbangkan dengan sentuhan manusia, keaslian pengalaman serta nilai budaya yang menjadi antara tarikan utama sesebuah destinasi.
“HUGE 2026 diharap dapat diteruskan sebagai platform pembangunan kompetensi yang memberi manfaat kepada peserta dan penggiat industri, sekali gus menyokong usaha memperkukuh sektor pelancongan Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


