
PRN MELAKA: ‘CIKGU MUS’ JANJI TERUSKAN LEGASI ZAHARI DI DURIAN TUNGGAL
DURIAN TUNGGAL 28 Oktober – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa berjanji meneruskan legasi pembangunan dan khidmat masyarakat yang dilaksanakan penyandang terdahulu, Datuk Zahari Abd Kalil, sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau yang mesra disapa Cikgu Mus berkata, hubungan persahabatan yang terjalin sejak zaman pergerakan Pemuda UMNO menjadi asas kepada kerjasama mereka dalam memastikan agenda pembangunan dan kebajikan penduduk Durian Tunggal terus diperkukuh.
Menurutnya, Zahari bukan sahaja sahabat seperjuangan, malah individu yang mempunyai pengalaman luas dalam membangunkan kawasan berkenaan sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Zahari, sahabat saya yang hebat dalam membangunkan DUN ini. Namun, sebagai pejuang dan orang parti, kita tidak boleh lari daripada ketetapan serta keputusan yang telah dibuat parti.
“Saya mengenali Datuk Zahari bukan baru. Kami sudah bertahun-tahun menjadi sahabat baik dan sama-sama berjuang dalam satu pasukan untuk membawa kegemilangan di Parlimen Alor Gajah,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mustafa berkata, beliau juga tidak asing dengan Durian Tunggal kerana sudah lama berkhidmat bersama BN Alor Gajah dan mempunyai pengetahuan mengenai masyarakat di kawasan itu.
Katanya, dengan panduan, pengalaman dan sokongan Zahari, beliau yakin mampu meneruskan usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini, selain menambah baik perkara yang masih memerlukan perhatian.
“Berbekalkan panduan dan sokongan Datuk Zahari, saya yakin apa yang telah dilakukannya sebelum ini akan diteruskan. Kita mahu memastikan kesinambungan pembangunan itu bergerak lebih jauh melalui kerjasama sepasukan.
“Pengundi Durian Tunggal bukan sahaja mendapat calon BN, iaitu Cikgu Mus, tetapi juga Datuk Zahari yang akan bersama-sama saya dalam menyantuni dan menguruskan kawasan ini pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya diberikan kepercayaan oleh pengundi pada 14 November ini, beliau bertekad meneruskan agenda pembangunan sedia ada dan mempertingkatkan aspek yang masih boleh ditambah baik demi kepentingan penduduk.
“Saya mengharapkan masyarakat DUN Durian Tunggal memberi peluang kepada saya untuk meneruskan legasi dan kecemerlangan Datuk Zahari.
“Saya berjanji akan bekerjasama dengan beliau bagi meneruskan perkara yang masih berbaki dan meningkatkan apa yang perlu supaya Durian Tunggal terus maju, bukan sahaja di mata penduduknya, malah seluruh rakyat Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


