PRN MELAKA: DR. AKMAL TIDAK KEJAR MAJORITI BESAR, UTAMAKAN KEPERCAYAAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

MERLIMAU 31 Oktober – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak meletakkan sasaran untuk memperoleh kemenangan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, sebaliknya lebih mengutamakan kepercayaan rakyat terhadap khidmat yang diberikan sepanjang hampir lima tahun lalu.

Penyandang kerusi DUN Merlimau itu berkata, keutamaannya ketika ini adalah mendapatkan semula keyakinan pengundi untuk terus diberikan mandat membawa amanah sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sepanjang tempoh empat tahun 11 bulan berkhidmat, beliau mahu rakyat menilai sendiri prestasi dan khidmat yang telah dilaksanakan sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.

“Saya tidak menjangkakan kemenangan dengan majoriti besar. Saya bercakap secara jujur, saya hanya mahukan kepercayaan orang ramai.

“Bagi saya, perkara lebih penting adalah amanah itu mesti dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.

Mengulas kritikan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya, Dr. Muhamad Akmal mengakui mempunyai kesilapan serta kelemahan sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha mendapatkan kepercayaan masyarakat di kawasan berkenaan.

Beliau turut menyerahkan kepada rakyat untuk menilai pelbagai dakwaan, analisis dan propaganda yang timbul sepanjang tempoh berkempen sebelum membuat pilihan menerusi kertas undi.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua jentera parti supaya menjalankan kempen secara matang dan berhemah tanpa mencetuskan provokasi, fitnah atau serangan peribadi.

“Kita kempen secara berhemah, jangan memfitnah orang atau mengeluarkan kata-kata buruk terhadap pihak lain. Insya-Allah, kita cakap baik-baik sahaja.

“Yang penting bukan soal pilihan raya untuk dua minggu ini, tetapi bagaimana kita hendak mentadbir negeri bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

PRN Melaka Ke-16 menyaksikan pengundian awal ditetapkan pada 10 November, manakala hari pengundian berlangsung pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

263
Kongsi :
Previous post DUA PEGAWAI KANAN PENTADBIRAN MELAKA GENGGAM DTM DI KONVOKESYEN UTEM
Next post PRN MELAKA: RAIS AKAN BENTANG AKU JANJI UNTUK RAKYAT SUNGAI UDANG