
PRN MELAKA: BN ADA KECANTIKAN TERSENDIRI, TIDAK PERLU BURUKKAN LAWAN – AB RAUF
PENGKALAN BATU 3 November – Barisan Nasional (BN) perlu menonjolkan kekuatan dan keistimewaan sendiri dalam usaha meraih sokongan rakyat, tanpa menjadikan kelemahan pihak lawan sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu penting bagi mengekalkan identiti serta nilai tersendiri parti, selain mengingatkan anggota supaya tidak terikut-ikut dengan budaya memburukkan pihak lawan.
“Kita tak nak cerita buruk orang, sebab buruk orang bukan baik pada kita. Buruk orang bukan lawa pada kita.
“Kita ada kecantikan yang tersendiri yang ‘natural’ atau semulajadi,” katanya ketika berucap ketika mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan BN DUN N15 Pengkalan Batu, Peringgit, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka merangkap penyandang kerusi DUN Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; calon BN DUN Pengkalan Batu Siti Aisyah Mahmood serta lain-lain kenamaan.
Menurutnya, pengalaman UMNO dan BN kehilangan kerajaan sebelum ini perlu dijadikan iktibar oleh seluruh anggota parti, khususnya dalam memelihara kesatuan serta mengelakkan kelemahan dalaman daripada menjejaskan perjuangan.
Beliau menegaskan, parti bukan milik mana-mana individu, sebaliknya merupakan amanah bersama yang perlu dipertahankan oleh seluruh anggotanya.
“Parti ini bukan milik peribadi saya. Parti ini adalah milik kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf mengingatkan jentera supaya tidak memandang ringan persaingan pada PRN kali ini, meskipun perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan yang menyaksikan BN kembali membentuk kerajaan negeri boleh menjadi suntikan semangat kepada mereka.
Katanya, BN bertanding di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala lima kerusi lagi diperuntukkan kepada rakan strategik, sekali gus menuntut kerjasama erat antara parti serta kekuatan jentera di setiap kawasan.
Menyentuh mengenai DUN Pengkalan Batu, beliau menegaskan kerusi itu perlu dipertahankan menerusi gerak kerja berterusan dan usaha mendekati masyarakat setempat.
“Saya datang hari ini nak beritahu saya tak mampu kalah di Pengkalan Batu. Pastikan setiap langkah kita langkah menang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


