PRN MELAKA: AB RAUF MAHU BETULKAN APA YANG DIWARISI

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PENGKALAN BATU 3 November – Usaha memperbaiki kelemahan projek pembangunan yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu akan terus menjadi keutamaan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk menerajui Kerajaan Negeri Melaka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, beberapa projek yang berdepan masalah pelaksanaan ketika ini sedang diteliti bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.

Menurutnya, isu berkenaan bukan sahaja melibatkan projek warisan pentadbiran terdahulu di peringkat negeri, malah terdapat juga projek di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan yang berdepan kekangan pelaksanaan, termasuk berkaitan pelantikan kontraktor dan pemantauan.

Katanya, usaha membetulkan kelemahan sedia ada akan terus diberi perhatian sekiranya beliau diberikan kepercayaan untuk menerajui pentadbiran negeri.

“Saya sedang berusaha untuk mempertingkatkan semula projek-projek ini dan insya-Allah, kalau Allah SWT memberikan saya keizinan, maka salah satu yang perlu saya beritahu ialah membetulkan apa yang saya warisi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan BN DUN Pengkalan Batu, Peringgit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka merangkap penyandang kerusi DUN Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; calon BN DUN Pengkalan Batu Siti Aisyah Mahmood serta lain-lain kenamaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf berkata, beliau melihat gerak kerja kempen BN di seluruh Melaka semakin menggalakkan berdasarkan siri lawatan yang dilakukannya ke beberapa kawasan.

Menurutnya, jentera parti menunjukkan semangat tinggi menjelang hari pengundian pada 14 November ini dengan harapan sokongan rakyat dapat diterjemahkan menerusi semangat ‘Gelombang Biru’.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

294
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN ADA KECANTIKAN TERSENDIRI, TIDAK PERLU BURUKKAN LAWAN – AB RAUF
Next post PRN MELAKA: AB RAUF JAWAB ISU CALON RIM, SERAH PIHAK BERKUASA SIASAT