PRN MELAKA: MELAKA BUKAN NEGERI KRITIKAL, TAPI ‘PERFORMANCE STATE’ – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER MOLEK 3 November – Melaka tidak berada pada tahap kritikal daripada segi pengurusan pembangunan negeri, sebaliknya kekal dalam kategori ‘performance state’ berdasarkan keupayaan mengendalikan urusan pembangunan serta pelaksanaan projek negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, kewujudan beberapa projek yang berdepan masalah pelaksanaan tidak seharusnya dijadikan ukuran untuk menilai keseluruhan prestasi pentadbiran negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, projek yang terbengkalai atau dikategorikan sebagai projek sakit berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk kekangan peruntukan, kelemahan pengurusan serta masalah keupayaan kewangan syarikat swasta yang terlibat.

“Melaka tidak berada pada taraf kritikal. Melaka berada pada taraf yang dipanggil ‘performance state’ yang menunjukkan bahawa kita berjaya mengendalikan sebaik mungkin urusan-urusan kerja negeri yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan DUN Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon BN DUN Ayer Molek Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; calon PN DUN Bukit Katil Ridzuan Sarif serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri memahami faktor yang menyebabkan sesetengah projek pembangunan mengalami kelewatan atau dikategorikan sebagai projek sakit, justeru pendekatan mencari penyelesaian lebih diutamakan berbanding menyalahkan mana-mana pihak.

Katanya, usaha memulihkan projek berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira kesesuaian serta keadaan ekonomi semasa.

“Saya dah berjanji kita tak nak cari salah orang dan kita faham masalah itu berada di mana. Mungkin tak ada bajet lagi atau mungkin tidak dapat diurus dengan baik sehingga menyebabkan ia menjadi projek sakit,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebahagian projek terbengkalai itu membabitkan inisiatif swasta yang diberikan konsesi kepada syarikat pelabur, manakala sebahagian lagi merupakan projek Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat tidak menilai keseluruhan prestasi pembangunan negeri hanya berdasarkan kewujudan projek yang masih belum disiapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

204
Kongsi :
Previous post JENTERA BN, PAS SALING MELENGKAPI DI TANGGA BATU – RAIS
Next post PRN MELAKA : CALON PRN MELAKA PERLU BERKEMPEN SECARA BERSIH – AHMAD ZAHID