TPM TITIP TIGA PESANAN KEPADA GRADUAN TVET

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

RIM 3 November – Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus meningkatkan kemahiran, menterjemahkan minat kepada hasil serta berani meneroka pengalaman baharu bagi membina kelebihan dalam pasaran pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga perkara itu menjadi asas penting untuk membolehkan golongan muda menghadapi dunia pekerjaan yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu.

Menurutnya, graduan perlu menambah kemahiran mengikut bidang diceburi termasuk menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), mendapatkan pensijilan tambahan dan membina kepakaran yang diperlukan industri.

“Kalau belajar automotif, tambah pengetahuan elektronik. Kalau belajar perniagaan, kuasai penggunaan data dan AI.

“Jangan berhenti pada apa yang diajar dalam kelas. Cari latihan, ambil pensijilan tambahan dan bina kepakaran yang membuatkan majikan berkata, anak Melaka ini kita mesti ambil!” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi & TVET MARA 2026 Negeri Melaka di Dewan MPJ Alamanda Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pengarah MARA Ir. Dr. Mahzan Teh dan kenamaan lain.

Ahmad Zahid berkata pesanan ketiganya pula ialah supaya golongan muda berani mencari pengalaman dan menerima cabaran menerusi latihan industri, penyertaan pertandingan serta pembentangan idea walaupun belum sempurna.

“Kalau gagal sekali, belajar dan cuba lagi. Biasakan diri bekerja dalam pasukan, menepati masa dan menunaikan janji. Kepakaran membuka peluang tetapi sikap yang baik membina kepercayaan.

“Ayahanda mahu suatu hari nanti dari dewan di Jasin ini lahir pakar AI, pencipta permainan digital, jurutera dan usahawan teknologi yang dikenali dunia.

“Bila orang tanya, dari mana datangnya pakar-pakar ini, jawab dengan bangga dari Melaka ler,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post 408 RAKAN INDUSTRI PERKUKUH PELUANG KERJAYA ANAK MELAKA – TPM
Next post MPHTJ TELITI PENYELESAIAN ISU BANJIR TAMAN SUTERA WANGI