
MELAKA NEGERI MAJU, PERLU DISOKONG INFRASTRUKTUR TENAGA TERBAIK
SUNGAI UDANG 6 November – Keperluan bekalan air dan elektrik yang mencukupi menjadi antara aspek utama diberi perhatian Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi menyokong pembangunan serta kemajuan pesat Negeri Melaka.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kemajuan sesebuah negeri perlu disokong kemudahan asas dan infrastruktur yang mencukupi bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar serta memenuhi keperluan rakyat.
Katanya, Melaka yang merupakan sebuah negeri maju dan pesat membangun memerlukan perhatian khusus dalam memastikan aspek bekalan air dan tenaga elektrik sentiasa mencukupi seiring pertumbuhan pembangunan.
“Saya sudah beritahu kepada pegawai-pegawai supaya Melaka yang merupakan sebuah negeri hebat dan sudah maju ini diberikan perhatian khusus, terutama dari segi bekalan air dan elektrik.
“Atas sebab itu, kita di PETRA datang ke sini untuk melihat sama ada projek sedang dibina, sudah siap atau berdepan masalah yang memerlukan tindakan lanjut.
“Kita mahu memastikan projek-projek yang dilaksanakan berjalan lancar dan sekiranya ada masalah, kita dapat mengenal pasti tindakan yang perlu diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini mengadakan lawatan ke kawasan terjejas hakisan sungai di Kampung Bertam Ulu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi serta kenamaan lain.
Tambah Abdul Rahman, selain memastikan kecukupan bekalan air dan elektrik, kementerian turut memberi perhatian kepada isu berkaitan pengurusan saliran, hakisan pantai dan sungai yang memerlukan tindakan serta penyelesaian sewajarnya.
Beliau berkata, pendekatan turun padang membolehkan kementerian menilai sendiri kemajuan projek, mengenal pasti kekangan pelaksanaan serta memastikan setiap perancangan pembangunan memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada siri pemantauan projek di beberapa negeri yang telah dirancang lebih awal dan tidak mempunyai kaitan dengan perkembangan pilihan raya.
Katanya, sebelum ke Melaka, beliau turut mengadakan lawatan ke Kedah, Johor dan Negeri Sembilan selain Kelantan serta Terengganu bagi meninjau sendiri status pelaksanaan projek di bawah seliaan PETRA.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


